Seperti yang telah diketahui, istiarah berpunca daripada tasybih. Dalam tasybih, terdapat dua unsur utama selain adat tasybih (lafaz perbandingan) dan wajhu syabah (sifat persamaan), iaitu musyabbah dan musyabbah bih.
Apabila dikatakan bahawa lafaz istiarah berasal daripada tasybih ini bermaksud bahawa lafaz tersebut pada asalnya dalam struktur tasybih merupakan sama ada musyabbah atau musyabbah bihi. Sekiranya lafaz istiarah itu berasal daripada musyabbah bihi maka istiarah tersebut dinamakan istiarah tasrihiyyah iaitu istiarah yang dinyatakan musyabbah bihinya secara terang dan jelas. Sebaliknya jika lafaz istiarah itu berasal daripada musyabbah manakala musyabbah bihi disembunyikan maka istiarah tersebut dinamakan istiarah makniyyah iaitu istiarah yang menyembunyikan musyabbah bihinya.
Perkataan tasrih bermaksud penyataan secara terang manakala perkataan makniyy bermaksud yang disembunyikan. Dalam kedua-dua jenis istiarah ini, unsur yang dinyatakan atau disembunyikan adalah musyabbah bih.
Contoh (1):
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka.” [al-Taubah: 32]
Dalam ayat ini, berlaku istiarah tasrihiyyah apabila “cahaya Allah” digunakan untuk menggambarkan agama Islam dan “memadamkannya dengan mulut” digunakan untuk menggambarkan usaha orang kafir untuk menghapuskan agama ini melalui ucapan dan propaganda mereka. Kaedah pelaksanaannya ialah dengan menyamakan agama Islam yang membawa kebenaran dengan cahaya yang menerangi, kemudian bentuk tasybih tersebut dihapuskan, lalu lafaz musyabbah bihi, iaitu “cahaya” dipinjamkan secara nyata kepada musyabbah.
Dengan itu terbentuklah istiarah tasrihiyyah yang memperindahkan gambaran usaha sia-sia golongan kufur dengan gambaran orang yang cuba meniup untuk memadamkan cahaya yang mustahil padam. Ungkapan ini bukan sahaja memperlihatkan kelemahan dan ketidakmampuan golongan tersebut dalam merosakkan agama ini, malah memberikan gambaran yang kuat tentang keteguhan dan kekuatan cahaya kebenaran yang datang daripada Allah, yang tidak mungkin digelapkan oleh sebarang usaha manusia.
Contoh (2):
إِنِّي لَأَرَى رُؤُوسًا قَدْ أَيْنَعَتْ ✽ وَحَانَ قِطَافُهَا وَإِنِّي لَصَاحِبُهَا
“Sesungguhnya kulihat kepala-kepala yang telah masak ranum dan telah tiba saat untuk dipetik dan akulah orang yang akan memetiknya.”
Dalam ungkapan ini, berlaku istiarah tasrihiyyah apabila “kepala-kepala” musuh diserupakan dengan buah-buahan yang telah masak dan sedia untuk dipetik. Kaedah pelaksanaannya ialah dengan menyamakan kepala-kepala itu dengan buah yang telah matang dan siap untuk dituai, kemudian bentuk tasybih tersebut dihapuskan, lalu lafaz musyabbah bihi, iaitu “buah yang ranum” dipinjamkan secara nyata kepada musyabbah.
Dengan itu terbentuklah istiarah tasrihiyyah yang memperindahkan gambaran peperangan dengan bahasa kiasan yang halus dan tajam, menggantikan kekasaran pertempuran dengan gambaran yang lembut tetapi sarat dengan isyarat kekuatan dan penguasaan terhadap musuh. Ia menjadikan suasana yang penuh keganasan tampak puitis dan mengesankan dalam penyampaian makna.
✅ Seterusnya sambunglah membaca dalam buku. Insya-Allah, penghantaran bagi yang membuat tempahan awal akan bermula pada 15 Mei 2025. Jangan pula serbu pihak penerbit pada tarikh itu kerana mereka perlukan masa untuk membungkus dan mengikut giliran.
✅ Bagi yang terlepas harga promosi sebelum ini, boleh cuba whatsapp penerbit: