TERUSKAN BELAJAR BAHASA ARAB

Isi Kandungan

Buat sahabat-sahabat yang telah, sedang atau berhasrat mempelajari bahasa Arab, ketahuilah bahawa kalian sedang melakukan suatu usaha yang terpuji.

Kalian sedang mempelajari sebuah bahasa yang dengannya al-Quran diturunkan. Rasulullah saw, sebagai rasul terakhir, bertutur dengan bahasa itu. Hadis-hadis yang diwariskan kepada umat ini disampaikan dalam bahasa tersebut. Para sahabat berbicara dengannya. Para imam besar menulis dan menyusun karya-karya mereka menggunakan bahasa itu. Para penuntut ilmu sejak dahulu hingga kini bersungguh-sungguh mempelajarinya. Ilmu-ilmu Islam pula disusun, ditulis dan diwariskan kepada kita melalui bahasa Arab.

Seseorang tidak akan menjadi ulama hanya dengan mengetahui bahasa Arab. Tapi sekurang-kurangnya langkah ke arah itu telah pun dimulakan. Seseorang juga tidak akan memahami keseluruhan al-Quran dan hadis dengan sebenar-benar kefahaman hanya dengan bahasa Arab, namun dirinya sudah berada di jalan menuju ke arah tersebut. Seseorang tidak menjadi baik, soleh dan bertakwa semata-mata kerana tahu bahasa Arab, tapi mengetahui bahasa ini memberi kelebihan tersendiri dalam usaha ke arah itu.

Dengan bahasa Arab, seseorang mengetahui apa yang dibacanya dalam solat. Dia memahami apa yang dilafazkannya dalam doa. Dia menangkap, walaupun sedikit, makna ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Semua ini memiliki kelebihan yang tersendiri jika dibandingkan dengan mereka yang tidak memahaminya.

Penegasan ini sama sekali tidak merendahkan atau menafikan mereka yang belum mengetahui bahasa Arab. Allah swt Maha Adil dan Maha Bijaksana dalam menilai hamba-hamba-Nya.

Picture of Ustaz Ashafizrol Ab Hamid
Ustaz Ashafizrol Ab Hamid

Pengasas Kelas Bahasa Arab Aljahiz

Kongsikan bacaan ini di: