Pengarang dan Kitab Sorof Rujukan

Isi Kandungan

Pengarang dan kitab sorof rujukan yang wajib diketahui serta dirujuk dalam bidang sorof adalah:

Sibawaih (سيبويه، أبو بشر عمرو بن عثمان بن قنبر w. 180H) melalui kitab agungnya “الكتاب”. Dalam kitab ini, beliau menghimpunkan perbahasan ilmu nahu dan tasrif. Beliau adalah yang terawal. Tapi untuk mencari jawapan kepada kemusykilan tasrif, jangan mula dengan kitab Sibawaih ini. Rujuk kitab-kitab dalam senarai di bawah dulu.

Al-Mazini (المازني، أبو عثمان بكر بن محمد البصري، w. 249H) dengan kitab “التصريف”, yang dianggap sebagai kitab khusus terawal dalam ilmu tasrif yang sampai kepada kita.

Al-Mubarrid (المبرّد، أبو العباس محمد بن يزيد الأزدي, w. 286H) menerusi kitab “الكامل” dan “المقتضب”, yang menghimpunkan pelbagai perbahasan penting berkaitan tasrif.

Ibn Jinni (ابن جني، أبو الفتح عثمان بن جني النحوي، w. 392H) melalui dua karyanya “التصريف الملوكي” dan “المنصف” yang merupakan syarah kepada kitab “التصريف” karangan al-Mazini. Secara peribadi, banyak kemusykilan sorof yang saya jumpa terjawab dalam kitab ini. Jangan tertinggal juga perbahasan-perbahasan tasrif dalam kitab التعليقة karangan أبو علي الفارسي, iaitu guru kepada ابن جني.

Al-Jurjani (الجرجاني، أبو بكر عبد القاهر بن عبد الرحمن، w. 471H) dalam kitabnya “المفتاح في الصرف”, yang menampilkan pendekatan tersusun dalam perbahasan sorof. Kitab ini saya jadikan silibus untuk kelas sorof online Aljahiz terbaru. Perincian kelas boleh lihat poster dalam komen pertama di bawah.

Al-Maidani (الميداني، أبو الفضل أحمد بن محمد النيسابوري، w. 518H), pengarang kitab مجمَع الأمثال, melalui kitab “نزهة الطرف في علم الصرف”, yang memberikan perhatian khusus terhadap perincian kaedah tasrif.

Al-Zamakhsyari (الزمخشري، أبو القاسم جار الله محمود بن عمر الخوارزمي الزمخشري، w. 538H) dalam kitab “المفصل”, yang menggabungkan perbahasan tasrif dan nahu. Jangan tertinggal شرح ابن يعيش ketika membaca kitab ini.

Ibn al-Hajib (ابن الحاجب، أبو عمرو عثمان بن أبي بكر الدوني، w. 646H) dengan kitab “الشافية في التصريف”, yang dianggap antara karya paling menyeluruh dan sistematik dalam bidang tasrif. Jangan tertinggal شرح ركن الدين الأستراباذي semasa membaca kitab ini. Banyak kemusykilan sorof dan makna kalimah-kalimah contoh terjawab menerusi kitab ini.

Ibn ‘Usfur (ابن عصفور، أبو الحسن علي بن مؤمن الحضرمي الإشبيلي, w. 669H) melalui dua kitabnya “الممتع” dan “المنصف” yang dikhususkan untuk tasrif. Beliau menyusun serta memperincikan kaedah-kaedah ilmu tasrif dengan lebih teratur berbanding pengarang-pengarang terdahulu.

Ibn Malik (ابن مالك، أبو عبد الله جمال الدين محمد بن عبد الله بن مالك الجياني الأندلسي الدمشقي، w. 672H) yang dalam bidang tasrif menghasilkan kitab إيجاز التعريف في علم التصريف dan نظم لامية الأفعال, di samping memasukkan perbahasan tasrif dalam dua nazamnya “الكافية” dan “الخلاصة”. Untuk الخلاصة, jangan tertinggal kitan التصريح على التوضيح karangan Khalid al-Azhari, iaitu syarah kepada أوضح المسالك إلى ألفية ابن مالك karangan Ibn Hisyam. Untuk makluman, kitab شَذَا العَرْف itu seolah-olah adalah ringkasan kepada bahagian sorof yang terdapat di dalam kitab التصريح. Tak faham apa-apa dalam شذا العرف, rujuk التصريح. Ini pengalaman peribadi saya.

Picture of Ustaz Ashafizrol Ab Hamid
Ustaz Ashafizrol Ab Hamid

Pengasas Kelas Bahasa Arab Aljahiz

Kongsikan bacaan ini di: