November 18, 2024
Nota bahasa Arab | Perbezaan di antara حُمُر dan حَمِير
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Firman Allah swt :

كَأَنَّهُمْ حُمُرٌ مُّسْتَنفِرَةٌ، فَرَّتْ مِن قَسْوَرَةٍ – المدثر : 50

“Mereka bagaikan kuda belang yang lari menyelamatkan daripada singa.”

Firman Allah swt :

وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ – لقمان : 19

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

Menurut ulamak tafsir perkataan حُمُر adalah jamak kepada حمار وَحْشِي (kuda belang) manakala perkataan حَمِير pula adalah jamak kepada حِمَار أَهْلِي (keldai).

Dalam ayat 50 surah al-Muddathir Allah swt gambarkan tindakan orang-orang yang mengelak daripada mendengar peringatan kebenaran seperti kawanan kuda belang yang bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada seekor singa.

Kuda belang adalah sejenis binatang yang sangat liar dan tidak pernah jinak walaupun puas dilatih manusia. Diceritakan ada usaha pernah dilakukan untuk menjinakkan kuda belang dan menjadikan haiwan pengangkut seperti kuda dan keldai tapi usaha itu hanya sia-sia. Hakikat kuda belang tidak mungkin dijinakkan telah diterima oleh manusia zaman berzaman.

Menerusi perumpamaan dalam ayat 50 surah al-Muddathir ini kita dapat faham bahawa keengganan mereka mendengar apatah lagi menerima bukan keengganan biasa. Ia adalah keengganan yang dibaluti keengganan.

Dalam surah Luqman ayat 19 pula Allah swt gambar suara kuat dan jelik seperti suara keldai.

Suara keldai. Orang yang pernah dengar sahaja yang akan tahu betapa ia mengganggu telinga dan betapa ia tidak enak didengar.

Kongsikan Artikel Ini: