Bila saya sebut “menulis”, ia merujuk kepada penghasilan karya berkaitan pengajian bahasa Arab di Malaysia yang berlatarbelakangkan kajian terhadap keperluan, permasalahan dan penyelesaian serta pembaharuan. Ya, ia bukan merujuk kepada semua jenis penulisan. Sebab di sana ada penulisan-penulisan yang pada saya ia sangat mudah dihasilkan seperti menulis sesuatu yang telahpun sedia ada dalam kesarjanaan Arab. Hanya perlukan satu atau dua buah buku di sebelah, kemudian terjemahkannya sahaja dengan sedikit olahan ke dalam bahasa Melayu. Dalam tempoh sebulan siap sebuah buku.
Sejujurnya penulisan yang saya maksudkan ini perlukan tempoh masa yang panjang. Masa yang ada bermula jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang (Ahad – Khamis) hanya dihabiskan untuk membaca, mengumpul, memikir, membuat pembahagian, menyusun, mengolah, menilai semula, mengkritik kerja sendiri, mencari kaitan, menghayati, menimbang dan akhirnya menulis.
Akhirnya masa untuk mengajar terlalu sedikit. Terus terang saya katakan, sejak 15 tahun lepas saya jarang mengajar. Kalau ada sekalipun, hanya untuk tempoh yang terhad. Bukan tidak mahu mengajar tapi kekangan masa yang tidak mengizinkan.
Kebanyakan masa dihabiskan untuk penulisan-penulisan yang yang melibatkan masa yang panjang seperti kamus Melayu – Arab, Bahasa Arab Untuk Orang Awam, Terjemahan Melayu – Arab, huraian-huraian terhadap beberapa matan tertentu dan lain-lain. Tapi yang paling banyak mengambil masa saya ialah kamus Melayu – Arab. Boleh dikatakan hampir setiap perkataan saya perlu buat kajian khusus dengan melihat sejauh mana sesuatu entri bahasa Melayu itu berfungsi sebelum dan selepas proses pengimbuhan di samping aspek kolokasi dan apakah padanannya dalam bahasa Arab baku. Moga Allah s.w.t permudahkan urusan saya.
Saya harap sahabat-sahabat saya tidak berkecil hati. 😊😊 Perkara ini bukan baharu, malah mereka yang mengenali saya sejak di bangku sekolah lagi tahu hal ini. Mereka datang jauh-jauh, akhirnya minum teh sahaja. Haha. Datang ke ofis saya, akhirnya buat kerja sendiri sambil saya menyiapkan kerja saya.
Tapi saya ada waktu khas untuk mengajar dan waktu inilah sebenarnya sahabat-sahabat saya gunakan untuk habiskan bacaan sesuatu kitab. Waktunya ialah ketika dalam sesuatu perjalanan jauh seperti perjalanan kereta Kedah – KL dsb.
Sempenan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019, saya akhiri hantaran kali ini dengan satu tips berkaitan membaca.
Jika untuk tujuan mengkaji, bacaannya perlu banyak dan hanya tumpu pada bahagian yang mempunyai kaitan dengan persoalan yang dikaji. Tapi jika ingin membina kekuatan diri dalam sesuatu bidang ilmu, pilih 1 atau 2 buah buku yang paling utama dalam bidang, kemudian baca dari awal sampai habis berulang-ulang kali, 2 kali, 5 kali atau 10 kali atau 20 kali. Lakukan bacaan seperti ini terlebih dahulu sebelum mara ke hadapan untuk melakukan bacaan kajian. Jika kita langkau bacaan jenis kedua, kita akan terus kosong dan akan terus tercari-cari punca jawapan setiap kali berdepan dengan persoalan. Maklumat dalam diri tidak tersusun dan semuanya bersifat agakan.
Ashafizrol Ab Hamid, 1 April 2019