Maksud perkataan اليم
1. Perkataan اليَمّ bermaksud البَحر. Tapi apakah maksud البحر?
Secara umumnya perkataan البحر bermaksud laut, iaitu yang berair masin. Namun ia juga digunakan untuk merujuk kepada sungai besar, iaitu yang berair tawar.
2. Contoh perkataan اليَمّ digunakan untuk maksud sungai besar ialah firman Allah swt :
أَنِ اقْذِفِيهِ فِي التَّابُوتِ فَاقْذِفِيهِ فِي الْيَمِّ – طه : 49
“Letakkannya di dalam peti dan lepaskannya ke dalam sungai (sungai Nil)..”.
3. Para ulamak tafsir seperti al-Tobari, al-Baghawi, al-Qurtubi dll rata-ratanya mengatakan bahawa perkataan اليَمّ dalam ayat itu bermaksud sungai Nil. Ibu Nabi Musa as diilhamkan supaya meletakkan baginda yang ketika itu baru dilahirkan ke dalam peti dan dilepaskan ke dalam sungai Nil Mesir.
4. Tapi kebanyakannya perkataan اليَمّ datang dengan maksud laut. Contohnya :
فَنَبَذْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ – الذاريات : 40
“Lalu Kami humban mereka ke dalam laut..” (Laut Merah).
Sumber kekuatan Ibu Nabi Musa as ketika melepaskan bayinya yang baru dilahirkan ke dalam اليَمّ
5. Lanjutan kepada ilham yang diterima ibu Nabi Musa as tadi supaya meletakkan bayinya yang baru lahir ke dalam peti kemudian melepaskannya ke dalam sungai Nil, apakah sumber kekuatan untuk seorang ibu berbuat demikian?
Jawapannya ketenangan dan yakin dengan Allah swt dan janji-Nya. Firman Allah swt :
وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي ۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ – القصص : 7
Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke sungai ; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.
6. Mari kita perhatikan,
[ “Jangan bimbang, jangan sedih..”. ]
Inilah sumber kekuatan dan ketenangan Ibu Nabi Musa as ketika beliau melepaskan bayinya ke dalam sungai Nil.
[ “… sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.” Ini janji Allah kepada Ibu Nabi Musa as bahawa Nabi Musa akan dikembalikan kepadanya dan akan dilantik sebagai Rasul. ]
Akan dikembalikan. Ya, beliau selepas itu menyusukan bayinya tanpa rasa risau lagi anak lelakinya itu dirampas dan dibunuh oleh tentera Firaun.
Kemudian diutuskan sebagai Rasul. Ya, baginda menjadi Rasul as.