Cara Membaca dan Mengekalkan Momentum Membaca

Isi Kandungan

Kita selalu dengar nasihat supaya rajin membaca, tetapi persoalannya bagaimana cara membaca dan bagaimana hendak mengekalkan momentum membaca ni.

(Saya bercakap tentang pembacaan dalam bidang ilmu agama dan bahasa Arab.)

Mula-mula kita kena memahami tujuan kita membaca. Ada bacaan untuk merehatkan minda; yang ini boleh dibaca secara santai seperti buku-buku bibliografi ulama, travelog atau buku2 nipis. Saya suka baca buku2 sirah dan sejarah Islam.

Ada bacaan untuk merujuk dan mencari jawapan. Bacaan jenis ini perlukan tumpuan, catatan dan tak boleh dilakukan sambil lewa. Kena ada pen dan kertas serta tujuan yang jelas. Kita tahu apa yang kita cari. Kekalkan fokus kepada apa yang kita nak. Jangan terlalu terpesona dengan maklumat2 yang tidak ada kaitan yang kita jumpa semasa membaca.

Ada juga bacaan untuk menguasai sesuatu bidang. Yang ini mesti dimulakan dengan mengaji asas bidang tersebut supaya kita memperoleh gambaran menyeluruh sebelum masuk ke perincian. Jika membaca bertujuan menguasai bidang, kita tidak boleh terjun bebas tanpa kerangka. Pembacaan mesti diiringi pemahaman terhadap struktur ilmu, istilah penting dan konsep asas. Tanpa asas yang kukuh, buku yang tebal sekalipun tidak akan memberi kesan, kecuali bagi mereka yang benar-benar genius dan mampu memahami tanpa bimbingan.

Bagaimana nak kekalkan momentum membaca?

Untuk mengekalkan momentum membaca pula, mula-mula kita perlu mendidik diri menjadi seorang yang bertanggungjawab, menghormati ilmu, jujur, tidak cincai serta menghargai jerih payah para ulama yang menulis. Disiplin dalaman seperti ini menjadikan kita lebih cermat, lebih hormat dan lebih berhati-hati dalam menyampaikan dan sekaligus menjadikan kita pembaca yang berkualiti yang tak sanggup nak mereka cerita, mereka jawapan, tak tergamak bercakap tentang sesuatu yang kurang pasti, yg malu menyatakan sesuatu yang tidak ada asas.

Momentum juga kita boleh kekalkan dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja yang memerlukan kita kembali kepada sumber. Aktiviti seperti penulisan, penterjemahan, mengajar, perbincangan ilmiah atau perdebatan sihat di media sosial akan memaksa kita membaca dengan lebih teliti.

Pendidik yang dikasihi, kalau dulu kita membaca demi markah peperiksaan, maka hari ini wajib kita membaca demi menjawab pertanggungjawaban ilmu di sisi Allah s.w.t.

Picture of Ustaz Ashafizrol Ab Hamid
Ustaz Ashafizrol Ab Hamid

Pengasas Kelas Bahasa Arab Aljahiz

Kongsikan bacaan ini di: