Jun 18, 2025
Asal Usul Perkataan الصَّبْر (Sabar)
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Perkataan الصَّبْر berasal daripada perkataan الصَّبِر, iaitu perahan sejenis tumbuhan yang terkenal dengan rasa yang sangat pahit (Aloe vera). Kata penyair Arab:

لا تَحْسَبِ المَجْدَ تَمْرًا أَنْتَ آكِلُهُ # لَنْ تَبْلُغَ المَجْدَ حَتَّى تَلْعَقَ الصَّبِرَا

“Jangan engkau menyangka kemuliaan itu semanis buah tamar yang mudah dimakan;

Engkau tidak akan mencapai kemuliaan sehingga engkau menjilat pahitnya perahan Sobir.”

Hubungan di antara kedua-dua perkataan ini menggambarkan makna sabar yang menuntut ketahanan jiwa terhadap kesukaran dan penderitaan.

Ibn al-Anbari, sebagaimana dinukilkan oleh al-Jawaliqi dalam Syarh Adab al-Katib, hal. 40 menjelaskan bahawa istilah sabar dinamakan demikian kerana kepahitan yang dirasai dalam hati serta tekanan jiwa yang ditanggung oleh orang yang bersabar menyerupai perahan kepahitan tumbuhan Sabir apabila dimasukkan ke dalam mulut.

Ungkapan ini menunjukkan bahawa sabar bukan sesuatu yang mudah; ia pahit, namun menjadi jalan menuju kemuliaan.

Nota : Sebutan bagi الصبر yang merujuk kepada perahan atau getah tumbuhan pahit seperti lidah buaya ialah الصبِر, dengan huruf sod berbaris fathah dan ba’ berbaris kasrah. Sebutan ini dijelaskan dalam beberapa sumber utama leksikografi Arab, antaranya Mukhtar al-Sihah oleh al-Razi, hal. 172 dan Isfa’ al-Fasih oleh al-Harawi, jld 2, hal 618. Penggunaan sebutan ini membezakan antara الصبِر sebagai tumbuhan pahit dan الصبر sebagai sifat kesabaran, walaupun kedua-duanya berasal daripada akar kata yang sama dan berkongsi unsur makna secara kiasan berkaitan dengan kepahitan dan ketabahan.

Kongsikan Artikel Ini: