Perkataan “مُعَلِّم” berasal daripada kata kerja “عَلَّمَ” yang berada pada wazan فَعَّلَ. Untuk memahami asal-usulnya, kita perlu melihat perbezaan di antara dua wazan utama dalam bahasa Arab, iaitu أَفْعَلَ dan فَعَّلَ.
Wazan أَفْعَلَ seperti perkataan “أَعْلَمَ” digunakan apabila sesuatu perbuatan itu dilakukan sekali, manakala wazan فَعَّلَ seperti dalam “عَلَّمَ” menunjukkan bahawa perbuatan itu dilakukan berkali-kali. Oleh itu “أَعْلَمَ” bermaksud memberitahu sekali, manakala “عَلَّمَ” bermaksud memberitahu berkali-kali. Dari fi’il “عَلَّمَ” ini terbentuklah perkataan “مُعَلِّم”, iaitu orang yang mengajar, yang memberitahu berulang-ulang kali. Bukan sekadar memberitahu sekali sahaja.
Contoh perbezaan ini turut dapat dilihat dalam al-Qur’an. Perkataan “أَنزَلَ” [al-Qadr: 1] digunakan untuk menunjukkan penurunan al-Qur’an sekali gus pada malam Lailatul Qadar: “إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ”. Manakala “نَزَّلَ” [al-Baqarah: 23] digunakan untuk menggambarkan penurunan ayat-ayat al-Qur’an secara berperingkat sepanjang tempoh wahyu, “مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا…”.
Perkara yang sama juga terlihat dalam ayat tentang Zulaikha yang menutup banyak pintu: “وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ” (Yusuf: 23]. Ia menunjukkan tindakan menutup lebih daripada satu pintu. Begitu juga dalam ayat “وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ” [Yusuf: 31] yang menggambarkan keadaan sekumpulan wanita Mesir yang terhiris tangan mereka berkali-kali disebabkan terpesona dengan ketampanan Nabi Yusuf a.s.
Kesimpulannya wazan فَعَّلَ seperti dalam “عَلَّمَ” membawa makna perbuatan yang dilakukan banyak kali dan inilah yang membezakan “مُعَلِّم” daripada sekadar penyampai maklumat. Seorang guru menyampaikan ilmu berulang-ulang kali dalam pelbagai bentuk agar dapat difahami oleh muridnya.