Ogos 8, 2022
Bagaimana nak kuasai i’rab dengan cepat?
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Di samping menelusuri bab-bab ilmu Nahu satu persatu dengan penuh sabar, kita perlu meneliti dan memperhalusi contoh-contoh i’rab.

2. Antara kitab terbaik buat pemula ilmu Nahu (bukan pemula bahasa Arab) adalah شَرْح الكَفْرَاوي على الآجُرُّومية oleh Syeikh al-Kafrawi (w:1202). Keunikan kitab ini adalah selain matan al-Ajurrumiyyah itu sendiri, pengarang turut mengemukakan i’rab untuk contoh-contoh yang diberikan dan juga i’rab kepada i’rab yang dinyatakannya. Pertama i’rab matan, kedua i’rab contoh dan ketiga i’rab kepada i’rab.

3. Kitab ini sangat baik jika dibaca bersama dengan حاشِية الحامدِي oleh Syeikh Ismail al-Hamidi (w:1316) kerana melalui Hasyiah ini kita akan tahu sebab mengapa begini dan mengapa begitu. (Rujuk gambar di bawah dan versi PDF boleh cari dekat google)

4. Misalnya jika Syeikh al-Kafrawi berkata bahawa sekian-sekian huruf jar muta’allaqnya adalah kalimah A. Kemudian datang Syeikh Ismail al-Hamidi menjelaskan sebab yang membolehkan kalimah A dijadikan muta’allaq kepada huruf jar tadi. Tanpa penjelasan Syeikh al-Hamidi, kita perlu ingat kaedah-kaedah ta’alluq huruf jar di dalam bab huruf jar. Sudah tentu hal tersebut sedikit sebanyak menjimatkan masa orang-orang yang ingatannya tengelam timbul.

5. Banyak lagi kitab-kitab lain di peringkat seterusnya yang perlu ditekuni jika kita benar-benar serius ingin kuasai i’rab. Antaranya kitab تَمرين الطلاب في صناعة الإعراب oleh Syeikh Khalid al-Azhari (905H). Menerusi kitab ini pengarang mengi’rab Alfiyah Ibn Malik.

6. Kemudian pergi ke peringkat seterusnya seperti kitab شواهد التوضيح والتصحيح لمشكلات الجامع الصحيح oleh Ibn Malik (w:672) dan lain-lain. Banyaklah kitab-kitab di peringkat ini seperti kitab-kitab tafsir terutamanya البحر المحيط oleh Abu Hayyan, kitab-kitab i’rab al-Quran, irab hadis, i’rab syair dan sebagainya.

7. Apa yang mustahak adalah mula dengan شرح الكفراوي على الآجرومية. Selepas kitab ini dengan sendiri kita akan terarah atau terbimbing untuk pergi kepada mana-mana kitab seterusnya.

8. Penting untuk kita sentiasa ingat bahawa mengetahui banyak kitab tidak akan menjadikan kita apa-apa. Yang benar-benar membuahkan hasil adalah pegang satu kitab seperti شرح الكفراوي tadi dan teliti satu persatu dengan penuh sabar, tidak gopoh dan tidak jemu. Tidak sabar, gopoh, mudah jemu ini adalah musuh penuntut ilmu.

Kongsikan Artikel Ini: