Ogos 23, 2024
Bahasa bukan sekadar tahu tapi perlu dikuasai dan dijinakkan
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Saya bercakap tentang Bahasa Arab dan penguasaannya di peringkat tertentu. Jangan ada pula yang membayangkan penguasaan seperti para penyair dan sasterawaan agong Arab.

Benar, bahasa perlu dikuasai dan dijinakkan. Tahu sahaja tidak cukup. Berapa ramai orang tahu alif lam dan tahu perbahasannya dalam ilmu Nahu, tapi alif lam tidak pernah jinak dengannya. Alif lam tidak pernah serasi dengan mata pena dan bibirnya.

Fiil madhi dan mudhori’. Semua orang tahu. Mungkin ada yang pernah hasilkan artikel dan kajian ilmiah tentangnya. Tapi lidahnya sentiasa terlepas apabila bertutur. Fi’il madhi dan fi’il mudhori’ hilang arah dan berantakan di dalam mulutnya. Tidak pernah jinak.

Sahabat,

Bahasa mesti dijinakkan. Bahasa perlu digunakan. Menulis dan bercakap adalah kaedah paling ampuh untuk menjinakkan bahasa. Tidak mengapa jika salah asalkan anda mempunyai hati yang bersih dan murni untuk menerima teguran orang. Tidak perlu hiraukan niat di hati penegur sama ada ikhlas atau semata-mata mencari salah. Asalkan teguran itu betul, kita terima dan berterima kasih. Hati yang bersih ini akan membuatkan anda gembira bila diperbetulkan dan akan terus berusaha menjinakkan bahasa yang mulia ini.

Sahabat,

Untuk kuasai mungkin membaca dan mendengar sudah cukup. Tapi untuk jinakkannya, anda perlu menggunakannya. Sentiasa menulis dan bercakap dalam Bahasa Arab. Hari ini mungkin ada yang mengkritik bahasa anda, tapi dua tiga tahun lagi dia akan berguru dengan anda. Percayalah kejayaan tidak datang dari ruang kosong. Dalam masa yang sama sentiasa berdoa kepada Allah swt untuk memberi kekuatan dan kesabaran untuk menjinakkan bahasa ini. Cari waktu-waktu mustajab dan berdoa

Kongsikan Artikel Ini: