Oktober 13, 2023
Berkenaan huruf ر kalimah امْرؤ
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Perkataan امْرؤ ini bermaksud “seseorang”. Contohnya:

أنتَ امرُؤٌ دائِبُ العَمَل، لا يَعْرِفُ الراحَةَ

“Engkau seorang yang gigih berkerja, tidak kenal erti melepaskan lelah.”

Jika dimasukkan alif lam, hamzah wasal di pangkalnya akan tergugur. Ia akan bertukar kepada المَرْء. Jika merujuk kepada perempuan, bentuknya ialah امْرَأَة dan المَرْأَة.

Kembali kepada huruf ر perkataan امْرؤ tadi, uniknya ia akan ikut baris huruf terakhirnya. Lihat contoh-contoh berikut:

هُوَ امْرُؤٌ فَسْلٌ لا خَيْرَ فِيهِ

“Dia lelaki keji, tiada kebaikan pada dirinya.”

لَقِيتُ امْرَأً مُتَثَاقِلًا عَنِ الشَّرِّ، بَطِيءَ الرِّجْلِ عَنِ الْمُنْكَرِ

“Aku bertemu seseorang yang berat untuk melakukan kejahatan dan sangat lambat kakinya untuk melakukan perkara mungkar.”

.جَلَسْتُ بِجِوارِ امرِئٍ عَالِي الْهِمَّةِ، نَافِذِ الْعَزْمِ

“Aku duduk di sebelah seseorang yang tinggi tekadnya dan sentiasa melaksanakan keazamannya.”

Lihat tiga contoh di atas, امْرُؤٌ, امْرَأً dan امْرِئٍ. Lain dari yang lain. Biasanya huruf terakhir sahaja berubah tapi dalam kes ini bukan sahaja huruf terakhir yang berubah malah huruf kedua terakhir turut berubah. Syaratnya bentuknya mestilah امْرؤ tanpa alif lam dan tanpa ta’ marbutah.

Kongsikan Artikel Ini: