Untuk bertutur bahasa Arab, anda perlu ada empat perkara berikut.
1. Mempunyai kosa kata yang banyak terutamanya kata kerja.
Sumbernya adalah bahan bacaan dalam pelbagai bidang, bahan audiovisual seperti filem, rancangan television, YouTube dll. Proses ini mesti berterusan dan dibimbing.
2. Menguasai aturan-aturan asas pembentukan ayat bahasa Arab.
Diperolehi dengan cara memerhati cara ayat-ayat bahasa Arab disusun melalui sumber dalam poin pertama di atas. Ilmu Nahu dan sorof boleh dipelajari seiring ketika proses ini dilakukan tapi jangan terlalu bergantung kepada kedua-dua ilmu ini. Mungkin ada yang akan berteori dan berfalsafah atas apa yang saya katakan ini, namun percayalah apa yang saya katakan ini adalah berdasarkan pengalaman yang bukan setahun dua.
3. Kaya dengan set-set gaya bahasa yang sering digunakan oleh orang Arab.
Juga diperolehi daripada sumber yang sama. Bahan bacaan dan audiovisual. Sifirnya mudah, iaitu jika output adalah bertutur maka inputnya adalah mendengar. Tapi bukan mendengar sambil sila panggung ditiup angin di tepi pantai sebaliknya perlu ada fokus dan meneliti setiap patah perkataan yang diungkap. Perlu ada pen dan kertas.
Peringkat ini akan menggambil banyak masa anda. Tapi lama kelamaan proses ini akan menjadi lebih mudah dan waktu itu mungkin anda boleh mendengar sambil bersantai-santai.
4. Praktis dan fokus secara berterusan.
Anda perlu berlatih dengan menyebut semula apa sahaja yang anda dengar atau baca. Bunyikan suara dan cuba ungkapkannya semula seperti yang anda dengar. Tinggikan suara dengan menyebutnya berulang-ulang kali sampai boleh hafal.
Pantang larang di peringkat ini adalah membina ayat sendiri dengan cara menggabungkan perkataan di antara satu sama lain berdasarkan ayat Melayu yang diatur terlebih dahulu dalam fikiran. Sebenarnya jika anda benar-benar banyak membaca dan banyak mendengar, anda akan terbiasa dengan puluhan malah ratusan pola ayat. Daripada ratusan pola ayat ini anda hanya perlu menukar perkataan untuk sesuaikan dengan situasi dan membuatkan anda tidak perlu lagi mengatur ayat Melayu dalam fikiran sebelum menterjemahkannya.
Jika pola-pola ayat tidak muncul ketika anda ingin ungkapkan sesuatu maka puncanya adalah pada cara anda membaca dan mendengar. Anda hanya baca untuk faham, bukan untuk meniru.
Apa yang saya sarankan di atas adalah solusi kepada masalah,
“Faham mereka cakap, tapi nak cakap semula tak boleh.”
“Semua perkataan ini saya tahu, tapi kenapa saya tidak berjaya susun macam ini?”
“Masa nak cakap tu, perkataan ini tak keluar.”
“Orang cakap senang ja, kenapa aku berpintal-pintal.”
“Kenapa lah berbelit sangat lidah aku nak sebut?”
“Aku bukan malu, aku tak tahu macam mana nak cakap.”
Penutup : Masalahnya dia tak tahu nak buat ayat, tak tahu nak kata macam mana dalam Bahasa Arab, yang engkau siang malam suruh dia beranikan diri tu buat apa? Dia bukan takut dan bukan malu. Dia tak tahu.