Jun 6, 2022
Hafal dan Praktik
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Praktik adalah elemen utama yang akan menentukan kejayaan seseorang menyebatikan sesuatu bahasa yang baru dipelajari. Tanpa praktik, tahap penguasaan bahasa dari sudut penggunaan tidak akan meningkat apatah lagi meletakkan seseorang itu pada tahap sebaris dengan penutur jati. Hal ini tidak mungkin berlaku. 

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa setelah sekian lama usaha praktik bahasa dilakukan namun hasilnya tetap kurang memberangsangkan. Persoalan inilah yang saya cuba rungkaikan menerusi hantaran kali ini.

Keadaan ini sebenarnya berpunca daripada beberapa kesilapan dalam mempraktikkan bahasa dan kesilapan paling besar adalah terlalu berani mengolah bahasa yang baru dipelajari tanpa menghiraukan sama ada penggunaan itu diguna pakai oleh penutur jati atau sebaliknya. Tidak salah untuk berani, tapi biarlah ‘berani’ yang lawannya adalah ‘malu’. Bukan berani dalam erti kata memandai-mandai mencipta sesuatu frasa atau ayat tanpa diteliti terlebih dahulu adakah betul ia diucapkan seumpama itu. 

Di peringkat permulaan, hafal frasa atau ayat lengkap kemudian praktikkannya seperti mana yang dihafal. Kemudian lakukan  sedikit pindaan pada bahagian-bahagian tertentu agar selari dengan konteks. Misalnya ayat عندي موعد معه “Saya ada janji temu dengannya”.  Ketika mempraktikkannya, kita ubah bahagian yang perlu seperti معها jika ia melibatkan seorang perempuan, معك jika “kamu”. Jika masa lepas, seperti “Tadi saya ada janji temu dengannya”, kita kata كان عندي موعد معه dengan memasukkan كان. 

Hafal dan jangan malu menggunakannya. Ini maksud berani. Hafal dan berani menggunakannya. 

Semasa usaha praktik ini dilakukan, sudah tentu kita akan tersilap seperti tersilap “kata ganti nama diri”, tersilap dari sudut perujukan masa, tersilap intonasi, sebutan, itu dan ini tapi pada asasnya ayat yang kita ucapkan itu merupakan ayat yang benar-benar dipertuturkan oleh penutur jati. Ini sudah cukup. 

Terus menghafal sebanyak mungkin dan gunakannya. Jika usaha ini dilakukan berterusan, tanpa disedari sebuah gugusan yang terdiri daripada perkataan dan ayat akan terbentuk di dalam diri kita di mana gugusan tersebut dengan sendirinya akan membekalkan perkataan dan ayat yang tepat untuk digunakan mengikut keperluan. 

Hafal ?? Bukan susah nak menghafal. Begini caranya. Kita baca teks, kita jumpa ayat baharu. Kita cuba ingat dan kemudian kita cuba gunakannya. Inilah hafalan yang saya maksudkan. Bukan duduk mengulang macam berzikir sehari seratus kali.  Lupa?! Tak mengapa, kita akan terjumpa lagi. Bagaimana nak pastikan yang kita akan jumpa lagi ayat yang sama atau hampir sama? Terus libatkan diri dengan bahasa yang sedang dipelajari itu melalui bacaan, mendengar audio / video dan sebagainya. 

KUNCINYA adalah TIRU.

Kongsikan Artikel Ini: