September 8, 2024
Info Bahasa Arab | Rukun رُكْن
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Sekarang ramai yang pergi menunaikan umrah di Mekah. Antara perkataan yang mereka akan dengar adalah رُكْن (rukn) atau orang kita sebut rukun. Contohnya Rukun Yamani, Rukun Syarqi, Rukun Iraqi, Rukun Gharbi. Apakah maksud rukun di sini?

2. Maksudnya ialah penjuru atau sudut. Bukan rukun macam rukun solat yang kita biasa dengar itu. Rukun Yamani (الركن اليماني) misalnya, ia bermaksud penjuru sebelah Yaman. Rukun Syarqi (الركن الشرقي) bermaksud penjuru sebelah timur, yang terletak di sebelah pintu Ka’bah hampir bertentangan dengan telaga air Zamzam.

3. Rukun Iraqi (الركن العراقي) bermaksud penjuru menghala ke arah Iraq atau dipanggil juga الركن الشمالي, iaitu penjuru sebelah utara. Akhir sekali rukun Gharbi (الركن الغربي), iaitu penjuru sebelah barat atau disebut sebagai الركن الشامي, iaitu penjuru yang mengadap ke Syam.

4. Contoh penggunaan bahasa Arab untuk kalimah رُكْن ialah رُكْنُ الغُرْفَة (penjuru bilik). Contoh dalam ayat :

ضَعْهُ في رُكْنِ المَنْزِلِ

“Letakkannya di penjuru rumah.”

هذه الغرفةُ تحتوِي رُكْنًا مُعَدًّا خِصِّيصًا لتَبْديلِ الملابِس

“Bilik ini mengandungi satu sudut yang disediakan khusus untuk menyalin pakaian.”

Kongsikan Artikel Ini: