Mac 27, 2025
Info Sorof | Di antara أَسْتَحْيِي (as-tah-yi) dan أَسْتَحِي (as-ta-hi).
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Kedua-dua digunakan. Kedua-duanya berasal daripada fi’il حَيِيَ.

2. Fi’il اسْتَحَى – يَسْتَحِي adalah lughat Tamimiyyah manakala fi’il اسْتَحْيَى – يَسْتَحْيِي pula adalah lughat Hijaziyyah. Kedua-duanya membawa maksud [ malu ].

3. Fi’il اسْتَحْيَى (is-tah-ya) menurut lughat Hijaziyyah selari dengan bentuk asalnya, iaitu حَيِيَ tanpa menggugurkan sebarang huruf. Wazannya ialah اسْتَفْعَلَ.

اسْتَحْيَى (اسْتَفْعَلَ) – يَسْتَحْيِي (يَسْتَفْعِلُ) – اسْتِحْيَاء (اسْتِفْعَال)

Kenapa tidak disebut اسْتَحْيَيَ (is-tah-ya-ya)?

Perkara ini berdasarkan kaedah إذا تَحَرَّكَتْ الياءُ وانفَتَحَ ما قَبْلَها قُلِبَتْ ألِفًا [Apabila ya’ berbaris dan huruf sebelumnya berbaris fathah, maka huruf ya’ tersebut perlu ditukar kepada alif ]. Contohnya يَرْضَى. Sepatutnya يَرْضَيُ kerana terdapat ي pada fi’il madhinya, iaitu رَضِيَ.

Begitu juga اسْتَحْيَى, sepatutnya اسْتَحْيَيَ kerana huruf ya’ adalah huruf terakhir kalimah asalnya, iaitu حَيِيَ. Tapi huruf ya’ tersebut ditukar kepada alif memandangkan huruf kedua terakhir wazan اسْتَفْعَلَ, iaitu ع berbaris fathah.

Contoh di dalam al-Quran, إن الله لا يَسْتَحْيِي dan تَمْشي على اسْتِحْيَاء dan فيسْتَحْيِي منكم. Ketiga-tiganya membawa maksud malu. Adapun ayat seperti يستَحْيُونَ نساءهم atau نستَحْيِي نساءهم atau اسْتَحْيُوا نساءهم, maksudnya ialah ‘membiarkan mereka hidup’.

4. Sekarang kita beralih pula kepada lughat Tamimiyyah, iaitu اسْتَحَى (is-ta-ha). Susun bunyinya tidak selari dengan bentuk asal حَيِيَ.

Apa yang terjadi adalah huruf ي yang merupakan عين الكلمة telah digugurkan.

Asalnya اِسْتَحْيَىْ (is-tah-ya) kemudian huruf ya’ digugurkan, jadilah اِسْتَحْىْ (is-tah- …). Di sini huruf ح dan alif selepasnya kedua-duanya sukun, tidak berbunyi. Untuk selesaikan masalah ini baris fathah yang terdapat pada huruf يَ yang digugurkan tadi diambil semula dan diletakkan pada huruf ح. Maka jadilah اِسْتَحَىْ (is-ta-ha).

Justeru wazan اِسْتَحَى adalah اِسْتَفَلَ, bukan lagi اِسْتَفْعَلَ.

5. Masdar kepada اِسْتَحَى – يَسْتَحِي setelah mengambil kira wazannya, iaitu اِسْتَفَلَ – يَسْتَفِلُ adalah اِسْتِحَاء, wazan اِسْتِفَال. Inilah kiasnya walaupun ada mu’jam yang menyatakan masdarnya adalah اِسْتِحْيَاء. Isim failnya ketika nakirah dan bukan mudhof adalah مُسْتَحٍ wazan مُسْتَفٍ yang asalnya adalah مُسْتَفِل. Kalimah مُسْتَحٍ wazannya مُسْتَفٍ dan kalimah المُسْتَحِي wazannya المُسْتَفِل.

Fi’il amarnya adalah اِسْتَحِ wazan اِسْتَفِ.

6. Masdar kepada اِسْتَحْيَى – يَسْتَحْيِي berdasarkan wazan اِسْتَفْعَلَ – يَسْتَفْعِلُ adalah اِسْتِحْيَاء, wazan اِسْتِفْعَال. Isim failnya adalah مُسْتَحْيِي wazan مُسْتَفْعِل. Contohnya kata-kata Mujahid yang dinukilkan di dalam Sahih al-Bukhari :

لا يتَعَلَّمُ العِلْمَ مُسْتَحْيٍ ولا مُتَكَبِّرٌ

Boleh juga disebut مُسْتَحِي wazan مُسْتَفِعْ, iaitu huruf ya’ selepas ha’ dibuang dan baris kasrahnya dipindahkan kepada kepada huruf ح.

Fi’il amarnya adalah اِسْتَحْيِ wazan اِسْتَفْعِ.

7. Saya telah ringkaskan perkara ini seringkas-ringkasnya tanpa sebarang perincian. Untuk faham apa yang saya nyatakan ini sahabat-sahabat perlukan pen dan kertas, tenang dan fokus.

Kongsikan Artikel Ini: