April 22, 2025
Info Turath | Tafsir al-Nasafi
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Tafsir berjudul مَدَارِك التنزيل وحقائق التأويل atau lebih dikenali dengan nama تفسير النَّسَفِي karangan Abu al-Barakat Hafizuddin al-Nasafi (w:710h) adalah antara kitab yang meringkaskan tafsir الكَشَّاف karangan al-Zamakhsyari (w:538h).

Pembaca dapat ikuti ulasan penting berkaitan balaghah di dalam tafsir النسفِي dengan mudah kerana pengarang meletakkannya di bahagian terakhir perbahasan setiap ayat. Namun jika inginkan sentuhan menyeluruh sudah tentu pilihannya adalah tafsir الكَشَّاف itu sendiri selain أنوار التنزيل karangan al-Baidhawi (w:685h) yang merupakan ringkasan al-Kasyaf juga.

Kepentingan tafsir al-Nasafi adalah komentar beliau terhadap semua ayat yang menjadi sandaran Muktazilah dalam merangka kefahaman mereka. Ayat-ayat berkenaan diperjelaskan dan diperhalusi agar penuntut ilmu tidak termakan dengan syubhah muktazilah.

Jika risau terjebak dengan fahaman Muktazilah kerana membaca tafsir الكشَّاف yang merupakan tonggak tafsir Balaghah itu, pastikan anda tidak terlepas membaca tafsir النسفي ini.

Benar. Terdapat beberapa kitab yang ditulis khusus berhubung syubhah Muktazilah dalam tafsir الكشَّاف, namun saya sengaja ingin meniup semangat cintakan turath ke dalam jiwa para penuntut ilmu di zaman ini.

Kongsikan Artikel Ini: