Kita dilarang bercakap di luar bidang kepakaran kerana perbuatan tersebut berisiko menjerumuskan seseorang kepada kesilapan ilmiah dan kekeliruan kefahaman. Antara kesan buruk yang sering berlaku ialah:
1. Tidak mampu memahami dan menghayati perkara-perkara thawabit yang menjadi asas dalam sesuatu bidang. Contohnya, hukum mubtada’ ialah marfu‘. Sekiranya terdapat mubtada’ yang pada zahirnya kelihatan majrur, seperti yang hadir selepas رُبَّ dalam ayat رُبَّ كَسُولٍ نَاجِحٌ, maka kita tidak boleh menyimpang daripada prinsip asal bahawa mubtada’ itu marfu‘.
Dalam keadaan ini, kita menyatakan bahawa kalimah كَسُولٍ dari sudut lafaznya ialah isim majrur kerana dimasuki oleh رُبَّ yang merupakan huruf jar, namun dari sudut tempat dan kedudukannya dalam ayat, ia berada pada tempat marfu’ sebagai mubtada’. Jika berada di luar bidang, ada kemungkinan seseorang akan membuat kesimpulan bahawa terdapat mubtada’ yang majrur, sedangkan hakikatnya kemajruran tersebut hanyalah pada lafaz, bukan pada kedudukan dan hukum i‘rabnya.
2. Tidak dapat mengaplikasikan kaedah dan metodologi bidang tersebut secara tepat dan berkesan. Contohnya, terdapat kaedah yang menyatakan bahawa jumlah yang datang selepas isim nakirah dii‘rab sebagai na‘at, manakala jumlah yang datang selepas isim makrifah dii‘rab sebagai hal. Lalu dia menyimpulkan bahawa jumlah يَسْعَى dalam ayat وَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ يَسْعَى ialah na‘at, bukan hal, kerana ia menyusuli perkataan رَجُل yang merupakan isim nakirah.
Sedangkan jika dia benar-benar berada dalam bidang, dia akan memahami bahawa yang dimaksudkan dengan nakirah dalam kaedah tersebut ialah نَكِرَة مَحْضَة. Adapun perkataan رَجُل dalam ayat ini telah menjadi مَخْصُوصَة dengan frasa مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ sebagai na‘at. Dalam keadaan seperti ini, jumlah selepasnya boleh dii‘rab sama ada sebagai na‘at atau hal, bergantung kepada sudut pentafsiran yang diambil.
3. Tidak berkeupayaan mengesan pendapat-pendapat syaz yang menyimpang daripada arus ilmiah muktabar. Contohnya, para ulama nahu bersepakat bahawa huruf (الحَرْف) tidak memikul sebarang makna dalam dirinya. Sebaliknya, maknanya hanya terserlah apabila digandingkan dengan kalimah lain dalam sesuatu ayat. Pandangan ini berbeza dengan pendirian بهاء الدين النَّحَّاس (w. 698H) menerusi karya beliau التَّعْلِيقَة iaitu syarah kepada kitab المُقَرَّب karangan ابن عَصْفُور الإشبِيلي (w. 669H) yang menyatakan bahawa huruf tetap menunjukkan makna dalam dirinya. Kesannya, seseorang yang berada di luar bidang dikhuatiri akan menemui pandangan seperti ini lalu menyebarkannya seolah-olah ia merupakan sebahagian daripada ketetapan dan pegangan muktamad dalam bidang tersebut.
4. Tidak mengetahui rujukan utama dalam bidang. Apabila ingin membuat rujukan, dia tidak mengetahui kitab-kitab yang menjadi sandaran utama dalam kalangan ahli bidang. Nak rujuk, terus dia pegang kitab Sibawaih. Dia akan ditertawakan oleh ahli bidang.
Contoh lain ketika nak menilai kekuatan sesuatu pandangan atau menjadikan rujukan tersebut sebagai hujah yang berautoriti. Dia terbaca dalam kitab شرح الأشموني على الألفية (w. 829H) kenyataan bahawa lafaz أجمعون menunjukkan kebersamaan dalam tindakan. Berdasarkan kefahaman ini, ayat جاء الرجال أجمعون diterjemahkan sebagai “lelaki-lelaki itu datang semuanya secara serentak”. Pandangan ini kemudian dibandingkan dengan lafaz كل yang dikatakan tidak membawa maksud “serentak”.
Namun, apabila pandangan tersebut disemak dan diperincikan, ia boleh dipertikaikan berdasarkan ayat وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ [al-Hijr: 39]. Untuk memastikan perkara ini, rujukan dibuat kepada شرح ابن يعيش على المفصل (w. 643H) dan didapati bahawa dakwaan tersebut telah dinafikan lebih awal lagi, lengkap dengan hujah-hujah yang kukuh.
Sekiranya berada di luar bidang, besar kemungkinan seseorang akan berhujah menggunakan rujukan sampingan yang tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan tokoh dan karya berautoriti seperti الأشموني.
5. Tidak dapat mengenal pasti qaul muktamad yang menjadi pegangan dalam bidang berkenaan. Perkara ini sangat kerap berlaku dan contoh-contohnya dapat dilihat dengan jelas dalam pelbagai disiplin ilmu, khususnya apabila pandangan yang lemah atau terpencil disebarkan seolah-olah ia merupakan pendirian yang diiktiraf dan dipersetujui dalam bidang tersebut.
6. Tersalah sebut atau tersalah faham istilah serta nama-nama teknikal yang khusus dalam bidang tersebut. Kitab ارتِشاف الضَّرَب dengan ra’ berbaris fathah mungkin dibaca ارتشَاف الضَّرْب dengan ra’ berbaris sukun. Dia baca kitab تفسير الطبري, kemudia dia datang dengan i‘rab yang pelik-pelik dengan alasan bahawa ia dinyatakan oleh al-Tobari, sedangkan hakikatnya dia gagal memahami istilah dan pendekatan yang digunakan oleh al-Tobari sendiri.
7. Tidak mengenali tokoh, autoriti dan ahli yang benar-benar berkelayakan dalam disiplin ilmu itu.
Atas sebab itulah, bercakap dan berhujah mestilah dilakukan dalam lingkungan bidang yang dikuasai, atau dengan merujuk secara amanah kepada pakar yang berautoriti.
Sahabat-sahabat! Ingatlah, menyesal kerana tak cakap tak seteruk menyesal kerana bercakap.