Saya pilih kitab ini daripada sekian banyak kitab sorof kerana pengarangnya adalah antara pengasas utama ilmu balaghah, iaitu Imam Abdul Qahir al-Jurjani (w. 471H), yg terkenal dengan teori al-Nazm yang pernah menjadi suatu fenomena ilmiah dalam kalangan ilmuwan Islam, khususnya dalam bidang bahasa Arab suatu masa dulu. Kebanyakan penuntut ilmu kenal beliau menerusi kitab agung beliau, iaitu دلائل الإعجاز dan أسرار البلاغة.
Dalam kitab دلائل الإعجاز, pada bahagian awal beliau menegaskan bahawa ilmu Ma’ani merujuk kepada perbahasan makna yang lahir daripada susunan dan unsur-unsur nahu. Hal ini bermaksud seseorang tidak akan benar-benar menguasai ilmu Ma’ani melainkan setelah menguasai perbahasan nahu dengan mendalam. Barangkali tahap penguasaan yang dimaksudkan oleh beliau dapat difahami melalui karya beliau yang lain, iaitu المقتصد في شرح الإيضاح.
Menerusi kitab المقتصد ini, jelas kelihatan penekanan beliau terhadap makna yang tersirat di sebalik setiap unsur nahu. Apabila kita membaca kitab ini, seolah-olah kita sedang menadah ilmu nahu di hadapan seorang guru yang ilmu balaghah sentiasa berada di hujung lidahnya. Beliau amat jelas tentang perkara yang perlu didahulukan dan perkara yang perlu dikemudiankan dalam setiap perbahasan. Ini tidak pelik, kerana dari sudut bahasa dan nahu Arab, beliau sangat terkesan dengan al-Zamakhsyari dan al-Jahiz. Sesiapa yang sering membaca karya kedua-dua tokoh ini pasti dapat lihat dengan jelas pengaruh mereka terhadap Abdul Qahir al-Jurjani, khususnya dari segi gaya penyampaian dan pengolahan ilmu.
Bagaimana pula pendekatan beliau dalam ilmu sorof?
Dalam kitab المفتاح في الصرف, pendekatan beliau tidak jauh berubah. Kita dapat liht dengan jelas kesungguhan beliau dalam menekankan aspek makna yang terkandung di sebalik setiap wazan. Seolah-olah beliau ingin menegaskan bahawa kitab ini merupakan langkah awal untuk melangkah lebih jauh dalam memahami ilmu balaghah. Sorof ialah antara pintu masuk kepada kefahaman makna yang lebih halus dan mendalam. (Lihat gambar di bawah.)
Sebab itu, kali ini saya cadangkan kepada Aljahiz untuk anjurkan kelas sorof online dengan membaca kitab المفتاح في الصرف ini. Untuk rekod, sebelum ini Aljahiz telah anjurkan kelas sorof berkitab menggunakan Matan Bina, Matan Izzi dan Matan Syazal ‘Arf.
Bagi yang berminat untuk mendaftar, boleh hubungi pihak penganjur melalui link di bawah. Yuran pengajian RM60.00 sebulan selama enam bulan, merangkumi 24 sesi semuanya.