Ogos 3, 2024
Kepayahan yang diabadikan dalam bentuk solusi, iaitu buku-buku saya.
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Saya belajar bahasa Arab di Malaysia. Banyak cabaran terpaksa ditempuhi berbanding rakan-rakan yang berpeluang belajar di negara-negara Arab. Mereka sangat bertuah dan sudah tentu penguasaan mereka lebih baik.

Kepayahan pertama adalah kosa kata. Kitab-kitab Nahu dan sorof Arab lebih menumpukan soal kaedah dan teori berbanding kosa kata. Saya perlu buat sesuatu untuk diri saya. Saya jejak contoh-contoh untuk setiap tajuk nahu yang saya pelajari menerusi majalah-majalah Arab pada waktu itu (1996-2000) dan kumpulkannya dalam sebuah catatan. Tujuannya adalah dapat kaitkan apa yang saya belajar dalam ilmu Nahu dan Sorof dengan penggunaan sebenar serta kosa kata dan uslubnya sekali. Akhirnya ketika saya ingin tulis buku Huraian Matan Alajurrumiyyah, saya keluarkan nota lama itu dan ditambah dengan contoh-contoh baharu dengan harapan orang seperti saya tidak perlu lagi bersusah payah menyelak majalah sehelai demi sehelai untuk dapatkan contoh.

Kepayaan kedua ialah sorof. Kitab-kitab pemula sorof menumpukan soal tasrif dan pembentukan kalimah. Saya pula yang serba jahil dambakan lebih daripada itu, iaitu fungsi setiap bentuk kalimah. Terpaksalah saya menelaah kitab-kitab besar ilmu sorof, kitab-kitab lughah, ma’ajim dsb kemudian rumuskannya sebelum membuat catatan dalam sebuah nota. Nota keramat itulah modal saya menulis buku “Ilmu Sorof Moden ; Kata & Frasa Bahasa Arab”. Harapan saya ilmu sorof yang dipelajari adalah ilmu sorof yang boleh diaplikasi dalam penggunaan bahasa Arab laras biasa. Ilmu sorof bergerak seiring dengan uslub. Ini juga kepayahan yang saya abadikan dalam buku saya dalam bentuk solusi.

Kepayahan ketiga adalah mengimbangi aturan I’rab dan fungsi setiap tajuk dalam ilmu Nahu. Dengan mengetahui fungsi, sedikit-sebanyak akan membantu saya dalam meningkatkan kemahiran menulis atau becakap. Dari sinilah datangnya buku “Binaan Ayat Bahasa Arab”. Nak menulis atau bercakap asasnya hanya satu, iaitu kemampuan membina ayat. Buku ini penuh dengan soalan “bilakah” dan “Apakah beza di antara..”. Bilakah ingin guna jumlah ismiyyah, bilakah akan guna حَال, bilakah akan guna مفعول مطلق, bilakah itu dan ini. Allah swt sahaja yang tahu keringat yang saya tumpahkan di celahan kitab-kitab besar ilmu Nahu sebelum keluar dengan solusi-solusi yang pembaca dapat lihat di dalam buku binaan ayat tersebut. Sebab apa berkeringat? Sebab saya insan kerdil dan serba kekurangan, tapi ingin berkhidmat kepada anak bangsa.

Seterusnya adalah kosa kata harian. Perkataan-perkataan seperti lenguh, bengkak, lipat, tepuk, tunduk, dongak, alihkan channel dsb yang digunakan setiap hari. Allah swt sahaja yang tahu bagaimana saya memerah otak untuk kumpulkan vocab-vocab berkenaan dalam bentuk ayat sebanyak yang mungkin agar saya tidak lagi menghadapi kesukaran ketika ingin mengungkapkan sesuatu ketika berbual. Dari sini lahirnya buku “Nota Perbualan Bahasa Arab”. Begitu juga buku “Bahasa Arab Praktikal” yang disusun dalam bentuk pola ayat. Rakan-rakan yang mempelajari bahasa Arab di negara Arab mungkin tidak perlu lalui kepayahan ini. Alhamdulillah, saya dapat atasi kepayahan ini dan saya telah abadikan solusinya dalam buku- buku saya.

Bagi yang ingin lihat isi buku, boleh ke: www.aljahiz.my/buku/

Bagi yang berminat untuk dapatkan buku-buku saya, boleh tekan link berikut: https://wa.link/v6vz5p

Kongsikan Artikel Ini: