Jun 16, 2025
Kepentingan Menguasai Idiom Bahasa Arab Dalam Penterjemahan Arab – Melayu
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Istilah “idiom” merujuk kepada ungkapan yang maksudnya tidak boleh difahami secara literal disebabkan pembentukannya mendokong sesuatu makna khusus. Kegagalan mengenal pasti struktur dan makna idiom akan menyebabkan terjemahan kelihatan kaku dan songsang, lebih parah lagi terjemahan itu akan mencetuskan kefahaman yang salah terhadap teks sumber. Contohnya:

أَكَلَ عَلَيْهِ الدَّهْرُ وَشَرِبَ

Ungkapan ini menunjukkan prihal sesuatu yang sudah lama terpakai dan usang. Contoh dalam ayat:

هَذَا المَبْنَى قَدْ أَكَلَ عَلَيْهِ الدَّهْرُ وَشَرِبَ

“Bangunan ini sudah lama dan usang”. Selain itu kita juga boleh mencari padanan idiom bahasa Melayu yang sesuai seperti “telah dimamah usia” dsb.

Terjemahan Literal: “Telah dimakan dan diminum oleh tempoh  masa yang lama / masa / seribu tahun / seratus ribu tahun”.

APA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH PENUNTUT BAHASA ARAB?

Penuntut bahasa Arab tidak perlu sibuk dengan perbahasan idiom ini dari sudut teori.  Apa yang perlu dikakukan adalah melihatnya dari sudut praktikal, iaitu meningkatkan kekerapan penglibatan terhadap  teks bahasa Arab secara berterusan. Membaca, memahami dan kemudian mencari padanan maksud dalam bahasa sasaran.

Masalah kita bukan berhubung kesedaran terhadap fenomena idiom. Buktinya Kita semua tahu yang رَأْس المال diterjemahkan sebagai “modal”, bukan “kepala harta / wang”. Tapi masalah kita adalah berapa banyak idiom bahasa Arab yang kita gagal memahaminya dan akhirnya gagal mencari padanan terjemahannya dalam bahasa sasaran. Lihat contoh di bawah:

المشروع رأى النور أخيرا

“Projek itu terlaksana juga akhirnya”.

Ungkapan رأى النور digunakan untuk menggambarkan sesuatu usaha (projek dsb) yang  telah berjaya direalisasikan setelah melalui tempoh hambar dan malap.

Kitak tidak boleh terjemahkannya sebagai “Perojek itu telah melihat cahaya akhirnya”.

ADAKAH SEMUA IDIOM TIDAK BOLEH DITERJEMAHKAN SECARA LITERAL?

Jika terjemahan literal boleh menyalurkan maksud yang ingin disampaikan menerusi teks bahasa sumber, maka tidak ada halangan untuk kita berbuat demikian. Tapi jika sebaliknya, kita terpaksa membuat pilihan lain. Saya beri dua contoh idiom yang salah satunya boleh diterima untuk diterjemahkan secara literal dan satu lagi tidak boleh diterima.

(a) Boleh diterima untuk diterjemahkan secara literal

كُلَّمَا رَأْيْتُهُ غَلَى الدَّمُ فِي عُرُوقِي

“Setiap kali aku melihatnya darah menggelegak dalam segenap uratku”.

Ungkapan غلى الدم في في عروقه  menggambarkan perasaan marah yang tercetus secara tiba-tiba disebabkan sesuatu yang dilihat atau didengari.  Padanannya dalam bahasa Melayu antara lain ialah “menyirap darahku”.

“Menyirap darahku setiap kali melihatnya”.

(b) Tidak boleh diterjemahkan secara literal

جَاء أهْلُ القَرْيَةِ عَنْ بَكْرَةِ أَبِيهِمْ

“Kesemua penduduk kampung datang.”

Ungkapan عَنْ بَكْرَةِ أَبِيهِمْ membawa maksud “kesemua”. Yakni keseluruhan kumpulan yang tidak terkecuali walaupun seorang. Ungkapan ini langsung tidak boleh diterjemahkan secara literal. Perkataan أَبِيهِمْ itu langsung tidak dapat dinyatakan dalam terjemahan.

DI MANAKAH UNGKAPAN-UNGKAPAN INI DAPAT DIPEROLEHI?

Diperolehi daripada hasil bacaan yang luas dalam setiap bidang. Cara ini merupakan cara paling baik dan berbekas. Cara kedua boleh dapatkannya dari kamus sedia ada yang telah mengumpulkan sebahagian besar ungkapan-ungkapan seperti ini, antaranya kamus معجم التعبير الإصطلاحي في العربية المعاصرة oleh Dr. Muhammad Muhammad Daud dan lain-lain.

Kongsikan Artikel Ini: