Februari 22, 2023
Maksud الحال yang terdapat dalam definisi Fi’il Mudhari
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Bila ditanya apakah maksud perkataan الحال dalam takrif fi’il mudhari’ seperti يدل على حدث يقع في الحال أو الاستقبال, maka jawapan yang akan diberikan adalah ;

sekarang

– kala kini, dsb.

Persoalannya apakah yang dimaksudkan dengan ‘sekarang’ atau ‘kala kini’ ini?

Maksudnya adalah ((sesuatu yang telah berlaku dan masih lagi berlaku sekurang-kurangnya sehingga ayat itu diucapkan)).

Inilah yang dimaksudkan dengan الحال. Bila saya masuk ke dalam kedai, saya akan kata : أريد كذا menggunakan fi’il mudhari’. Ini kerana prihal saya inginkan sesuatu barang itu sudahpun ada sebelum ayat itu diucapkan, dan masih kekal ada saat ayat tersebut diucapkan.

Bahkan boleh jadi sejak dari keluar rumah tadi saya sudah pun pasang niat untuk membelinya, dan keinginan tersebut masih ada saat saya ucapkan ayat tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan الحال. Bukan maksudnya adalah tiba-tiba berlaku.

Mengapa kita gunakan أحبك ? Sebab kita sudah menyukainya sebelum ayat itu diucapkan dan masih lagi menyukainya saat ayat itu diucapkan.

Perkara ini dijelaskan dengan istilah ‘keberterusan’ dan ‘kesempurnaan’. Maksudnya “sesuatu yang telah berlaku, tapi belum sempurna / masih terus berlaku”.

Jika kita membaca buku-buku Nahu induk seperti الكتاب لسيبويه , المقتضب للمبرد , معاني القرآن للفراء dll kita akan dapati buku-buku ini sarat dengan ungkapan :

وقع ولم ينقطع

لم ينقطع

مضى وانقطع

كائن لم ينقطع

Oleh itu, apabila kita menerangkan fiil mudhari’ kepada pelajar, ia tidak cukup dengan sekadar memberitahu ‘sedang’ dan ‘akan datang’. Sebaliknya kita perlu jelaskan dengan lebih terperinci, dengan mengambil kira apa yang dipanggil sebagai ‘sistem aspek’ ini.

Begitu juga dengan fi’il madhi. Ia menunjukkan sesuatu yang ((telah berlaku dan telah sempurna)). Sementara fiil mudhari’ pula mengikut salah satu fungsinya menunjukkan sesuatu yang telah berlaku tapi masih belum sempurna, sebaliknya masih terus berlaku.

Dari sinilah kita akan pergi lebih jauh dalam mengenali sistem waktu dalam tindakan, kejadian atau keadaan. Contohnya :

– Terdapat dua tindakan dalam sebuah ayat majmuk di mana salah satunya berlaku lebih awal dari yang satu lagi. Misalnya :

عندما وصلت إلى مكتبه كان قد خرج

Bila saya sampai di pejabatnya, dia telahpun keluar.

– Tindakan yang telah berlaku, tapi masih terus berlaku dalam satu masa tertentu dalam masa lepas.

كنت أقود السيارة

Waktu itu (masa lepas) aku sedang memandu kereta.

– Tindakan yang telah berlaku lebih awal berbanding satu tindakan lagi dalam sebuah ayat majmuk pada satu masa tertentu dalam masa hadapan. Misalnya :

عندما تعود إلى ماليزيا في العام القادم أكون قد تزوجت من هذه الفتاة

Bila kamu pulang ke Malaysia tahun depan, waktu itu aku telah pun menikahi gadis ini.

Banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian ketika mengajar atau mempelajari bahasa Arab. Penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar di Malaysia tak mungkin bergerak ke tahap lebih baik jika fi’il (kata kerja) ini tidak diberi perhatian.

Kongsikan Artikel Ini: