Mac 18, 2024
Maksud “Hasyiah” حَاشِيَة
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Dari sudut bahasa hasyiah (حاشية ج حَوَاشِي) bermaksud tepi, pinggir, orang kiri kanan (hulu balang) dsb. Jika dalam ilmu faraid حواشي merujuk kepada silsilah keturunan yang bergerak ke tepi seperti adik, abang dan kakak si mati. Dari sudut istilah hasyiah bermaksud catatan pinggir halaman.

2. Lazimnya catatan ini mengandungi penjelasan, kritik atau pendapat mengenai sesuatu perkara berkaitan dengan teks yang tertulis di bahagian tengah halaman muka surat. Biasanya ia tidak terlalu panjang. *Saya tulis (biasanya) atas perkiraan hasyiah-hasyiah seperti حاشية ابن العابدين dsb.

3. Mari kita dapat sedikit gambaran terlebih dahuku tentang fizikal laman muka surat buku pada zaman dahulu. Biasanya susun atur halaman buku zaman dahulu meninggalkan ruang kosong sekurang-kurangnya dua inci untuk tujuan catitan.

4. Komentar ini menjadi sangat bernilai apabila ia diisi oleh seseorang yang mempunyai ketokohan dalam ilmu. Malah dalam banyak keadaan ia sengaja diisi untuk membantu penuntut ilmu lain memahami teks yang tertulis di bahagian tengah halaman muka surat.

5. Contohnya Imam Nawawi (w:676) menulis kitab مِنهاج الطالبِين, ringkasan kepada kitab المُحَرَّر okeh Imam Abi al-Qasim al-Rafi’e (w: 623H). Kemudian Imam Jalaluddin al-Mahalli (w:864) menulis sebuah kitab كَنْز الراغِبِين menghuraikan kitab منهاج الطالبين tadi yang kemudiannya dikenali dengan nama شرح المَحَلِّي. Barangkali disebabkan huraiannya panjang dan bukan sekadar merungkaikan teks المنهاج maka al-Mahalli menulisnya berasingan, bukan di tepi. Jadi huraian al-Mahalli tadi tidak dikenali dengan nama hasyiah.

6. Selepas itu muncul Imam al-Qalyubi (w:1069) dan Imam Umairah (w:957) membuat catatan tepi ke atas شرح المَحَلِّي tadi yang kemudiannya kedua-dua catatan ini disalin semula dan disatukan dalam satu cetakan oleh penerbit Mustofa al-Halabi seawal tahun 1950M. Namun kemungkinan kedua-dua catatan ini telah disalin dalam satu buku oleh para nussakh نُسَّاخ (juru salin / penyalin) lain sebelum dari tarikh itu lagi tetap wujud.

7. Selain nama حاشية ج حواشي, nama seperti تَعْلِيقَة ج تَعْلِيقَات juga turut digunakan untuk maksud yang sama. Tradisi ulama dahulu memulakan dengan menulis kitab-kitab ringkas sama ada benar-benar ringkas atau diringkas daripada kitab lain. Ini biasanya dipanggil matan (مَتْن ج مُتُون). Kemudian datang ulama lain menulis huraian. Huraian ini dipanggil syarah (شَرْح ج شُرُوح). Kemudian datang lagi ulama lain membuat catitan tepi. Inilah yang dipanggil hasyiah.

8. Adakah semestinya hasyiah datang selepas syarah? TIDAK.

Apa sahaja yang ditulis di bahagian tepi jika dianggap sebagai buku dan mempunyai nilai ilmu akan dipanggil hasyiah. Semua ini hanyalah istilah pembukuan pada suatu masa dahulu, zaman di mana penghasilan kertas tidak sebanyak hari ini. Dari sudut kandungan, hasyiah adalah syarah, iaitu huraian teks.

Kongsikan Artikel Ini: