Setelah melalui pembelajaran ilmu nahu secara teori melalui beberapa matan penting seperti al-Ajurrumiyyah, Qatr al-Nada, Syuzur al-Zahab, Alfiyah Ibn Malik dan Mughni al-Labib, peringkat seterusnya ialah mematangkan maklumat teori tersebut dengan menelaah cara para ulama mengaplikasikan ilmu nahu dalam i‘rab teks. Baca kitab-kitab i‘rab seperti الدر المصون للحلبي, البحر المحيط لأبي حيان, التبيان في إعراب القرآن للعكبري, شواهد التوضيح لابن مالك, إعراب لامية الشنفرى للعكبري dan lain-lain. Kitab-kitab ini akan membimbing penuntut ilmu nahu untuk mengaplikasikan maklumat yang telah dipelajari secara teori sebelum ini.
Namun saya nasihatkan agar proses ini dilakukan secara bertahap. Contohnya, ketika berada di peringkat al-Ajurrumiyyah, jangan sesekali meninggalkan شرح الكفراوي kerana ia mengandungi i‘rab bagi teks al-Ajurrumiyyah, i‘rab contoh-contoh dalam matan tersebut serta i‘rab ayat-ayat i’rab itu sendiri. Di peringkat Alfiyah, jangan abaikan kitab تمرين الطلاب في صناعة الإعراب لخالد الأزهري.
Satu perkara penting yang sering diabaikan ialah peranan kitab-kitab syarah dan hasyiah. Kitab-kitab ini sangat kaya dengan i‘rab dan faedah nahu. Contohnya, dalam bidang fekah: حاشية البجيرمي على الخطيب, المهمات في شرح الروضة للإسنوي, تحفة المحتاج لابن حجر, نهاية المحتاج للرملي dsb. Dalam hadis pula, antaranya مصابيح الجامع, نخب الأفكار oleh بدر الدين الدماميني dan Syarah Sunan Abi Dawud oleh ابن رسلان dan lain-lain.
Percayalah, jika ditanya kepada mereka yang benar-benar mahir dalam i‘rab dari mana kemahiran tersebut diperoleh, saya yakin jawapannya ialah melalui pembacaan dan pengajian kitab-kitab i‘rab termasuk yang terdapat dalam kitab-kitab syarah atau hasyiah fekah, tauhid, syarah hadis atau tafsir yang dibaca sendiri atau di hadapan guru.
Penting untuk diingat bahawa proses pematangan ini memerlukan keseimbangan antara dua pendekatan, iaitu penguasaan terhadap matan-matan ilmu nahu serta penelitian terhadap aplikasi i‘rab dalam kitab-kitab rujukan yang disebutkan.
Berhubung kitab-kitab yang saya nyatakan di atas, pemilihannya bukanlah secara tangkap muat. Semuanya ada sebab dan pertimbangannya tersendiri. Panjang ceritanya kalau ingin dihuraikan.😊