Nota bahasa Arab | Makna perkataan جَعَلَ di dalam al-Quran

Isi Kandungan

Perkataan جَعَلَ di dalam al-Quran membawa beberapa maksud, antaranya :

1. Mempercayai, meyakini, beriktikad

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ الْبَنَاتِ – النحل : ٥٧

“Mereka mempercayai bahawa Allah mempunyai anak-anak perempuan.”

وَجَعَلُوا الْمَلَائِكَةَ الَّذِينَ هُمْ عِبَادُ الرَّحْمَٰنِ إِنَاثًا – الزخرف : ١٨

“Mereka mempercayai bahawa malaikat yang merupakan hamba-hamba al-Rahman itu adalah wanita.”

2. Menjadikan

وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا – نوح : ١٦

“Dan Ia jadikan bulan di langit sebagai cahaya.”

3. Mencipta

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً – البقرة : ٣٠

“Sesungguhnya aku ingin mencipta seorang khalifah di bumi.”

4. Meletakkan

يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم – البقرة : ١٩

“Mereka meletakkan jari-jari mereka di telinga mereka.”

Kata Abu Hayyan (w:745h) di dalam Tafsir البحر المُحِيط ketika mengulas ayat ini :

وَالْجَعْلُ هُنَا بِمَعْنَى الْإِلْقَاءِ وَالْوَضْعِ كَأَنَّهُ قَالَ: يَضَعُونَ أَصَابِعَهُمْ

“Perkataan جَعَلَ di sini bermaksud mencampak / melepaskan dan meletakkan. Seolah-olah Ia berkata يضَعُون أصابعهم.”

Kita juga boleh terus terjemahkan جعل dalam ayat ini sebagai “memasukkan”.

Kata al-FairuzAbaadi (w:817h) di dalam kitab بصائر ذَوِي التمييز jld 2, hal. 384 :

“Antara maknanya adalah إدخال شيء في شيء (memasukkan sesuatu ke dalam sesuatu).”

اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ – الأنعام : ١٢٤

“Allah lebih tahu di manakah Dia ingin letakkan perutusannya.”

5. Mencampak ; melepaskan

وَأَجْمَعُوا أَن يَجْعَلُوهُ فِي غَيَابَتِ الْجُبِّ – يوسف : ١٥

“Mereka sepakat mencampaknya ke dalam perigi.”

6. Ada lagi makna-makna جعل yang disenaraikan oleh para ulamak, namun sebahagian ulamak meletakkan di bawah makna صَيَّرَ (menjadikan) atau salah satu daripada makna-makna di atas.

Ada juga جَعَلَ datang dengan maksud lain yang digunakan oleh orang Arab. Contohnya جعل bermaksud “mula, mulai” seperti جعَلَ يكتُب “Dia mula menulis”.

Picture of Ustaz Ashafizrol Ab Hamid
Ustaz Ashafizrol Ab Hamid

Pengasas Kelas Bahasa Arab Aljahiz

Kongsikan bacaan ini di: