Jun 9, 2024
Nota Bahasa Arab | Maksud تَرِبَتْ يَدَاك
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Frasa تَرِبَتْ يَدَاك ialah frasa kiasan yang membawa beberapa maksud yang berbeza. Semuanya ditentukan oleh konteks. Secara literalnya frasa ini bermaksud, berdebulah dua tangan kamu / penuhlah tangan kamu dengan pasir debu dsb. Keadaan tangan yang berdebu ini adalah kiasan kepada kefakiran.

Bila kita kata هو رَجُلٌ أَتْرَبُ “Dia lelaki yang berdebu” maka maksudnya ialah dia papa kedana. Seoalah-olah hanya pasir debu sahaja yang dia miliki.

Kita pun dalam bahasa Melayu lagi dahsyat, hehe. Ah, dia tu habuk pun tak ada. Begitulah lebih kurang kaitan debu / pasir / habuk dan papa kedana.

2. Jadi apakah maksud frasa tersebut dalam konteks hadis:

فاظفَرْ بذاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَداكَ

Adakah Rasulullah saw mendoakan kefakiran kepada orang yang memilih wanita yang berpegang kuat kepada agama?

Tidak. Maksud frasa تَرِبَتْ يداك dalam hadis berkenaan tidak seperti lahiriahnya. Orang-orang Arab menggunakan frasa ini untuk menggesa seseorang melakukan sesuatu. Gesaan di sini ialah gesaan memilih orang yang beragama. Hal ini bukan perkara asing bagi orang Arab. Mereka kadang-kadang menggunakan kata-kata yang luarannya nampak macam negatif, tapi apabila digabungkan dengan konteks ia akan menunjukkan positif. Contohnya ثَكِلَتْك أمك , لا أب لك, لا أم لك, لا أرض لك dan lain-lain.

Semua frasa-frasa ini secara lahiriahnya terang-terang negatif, tapi ia digunakan pada perkara positif.

3. Selain itu, kita juga boleh menganggap frasa itu sebagai negatif juga, yakni ‘papa kedanalah kamu nanti jika kamu tidak berbuat demikian’.

Di sini kita andaikan satu pengguguran frasa telah berlaku, iaitu frasa إن لم تفعل (Jika kamu tidak lakukan…). Seolah-olah asalnya ayat itu berbunyi تربت يداك إن لم تفعل ذلك . Yakni “papa kedanalah kamu jika kamu tidak berbuat demikian, iaitu tidak memilih perempuan yang beragama”. Tafsiran sebegini pun boleh.

Kesimpulannya ialah frasa تربت يداك mempunyai dua maksud. Pertama maksud positif, iaitu gesaan melakukan sesuatu yang baik. Kedua negatif, tapi dengan mengandaikan bahawa ayat تربت يداك tersebut telah melalui satu pengguguran frasa. Frasa yang digugur itu ialah إن لم تفعل ذلك.

Kongsikan Artikel Ini: