Nota Bahasa Arab | Perbezaan di antara بارك الله لك dan بارك الله عليك

Isi Kandungan

1. Kita sering mendengar ucapan باركَ الله لك وبارَك عليك وجَمَع بينَكُما في خير yang merupakan doa untuk pengantin baru yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Apakah maksud بارك لك dan بارك عليك?

Maksud بارَك الله لَكَ adalah “Moga Allah memberkati isterimu untuk kamu”. Sementara بارَكَ عليك pula bermaksud “Moga Allah memberkatimu untuk isterimu.”

Atau secara umunya bermaksud ;

“Moga Allah berkati pasanganmu untukmu dan berkatimu.”

2. Kata al-Sindiyy (w: 1138H) di dalam حاشية السندي على سنن الترمذي jld 2 hal 104 :

أي: باركَ اللهُ عليها لأجلكَ، وباركَ عليكَ لأجلها

“Moga Allah berkatinya untuk kamu / kerana kamu dan moga Allah berkati kamu untuknya / kerananya.”

Kata Ibn Raslan / Arsalan (w:844h), pengarang matan صفوة الزُّبَد di dalam شرح سُنَن أبي داود jld 9 hal 445 :

ثم يقول: (بارك الله لك) في أهلك (وبارك) لأهلك (عليك)

“Moga Allah berkati isterimu untuk kamu dan berkatimu untuk isterimu.”

Kata pengarang فيض القَدير, al-Hafiz al-Munawi (w: 1031) jld 1 hal 316 :

بارك الله لك في زوجِك

“Moga Allah berkati isterimu untukmu”

[ Perkataan أهل dan زوج merujuk kepada isteri. Contohnya أن عائشة زوجَ النبي قالتْ – HR Bukhari dan كانَ النبيُّ    يَكْرَهُ أنْ يَأْتِيَ الرَّجُلُ أهْلَهُ طُرُوقًا – HR Bukhari. ]

3. Kesimpulannya adalah doa di atas dipohon untuk kedua-dua mempelai. Dipohon agar isteri diberkati agar kebaikannya dinikmati suami (بارك الله لك) dan dipohon juga agar suami diberkati agar kebaikannya dinikmati isteri (بارك عليك).

Keberkatan bermaksud kebaikan yang melimpah ruah dan tidak putus-putus. Tinggi nilai doa ini jika dihayati kehalusan maksudnya.

4. Kemudian didoakan pula agar kedua-dua mempelai disatukan dalam kebaikan (جمع بينكما في خير). Seolah-olah terdapat suatu tempat yang penuh dengan kebaikan kemudian didoakan agar mereka berdua ditempatkan di dalamnya. Mereka dikelilingi, ditenggelami dan diliputi oleh kebaikan.

5. Sebelum mengakhiri catatan ini saya ingin kongsikan lafaz hadis yang berbunyi بارك اللهَ لكما في ليلَتِكُما yang bermaksud “Moga Allah berkati malam kamu berdua untuk kamu berdua”. Ada riwayat yang berbunyi بارك الله لكما وبارك عليك dengan lafaz كما di awal dan disusuli كَ. Ada juga yang sebaliknya. Jadi maksudnya adalah “Moga Allah berkati kedua-dua mempelai agar kebaikan mereka berdua saling dinikmati sesema mereka.”

Sebenarnya banyak lagi yang boleh diulas berkenaan fi’il بارك ini dari sudut huruf jar yang menjadi perantaranya. Di antara في dan على khususnya. Tapi cukuplah sekadar ini dulu.

Picture of Ustaz Ashafizrol Ab Hamid
Ustaz Ashafizrol Ab Hamid

Pengasas Kelas Bahasa Arab Aljahiz

Kongsikan bacaan ini di: