Mei 22, 2025
Nota Bahasa Arab | Perbezaan di antara مُخْلِصِين dan مُخْلَصِين
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Perkataan مُخْلِصِين adalah isim fa’il dan perkataan مُخْلَصِين pula adalah isim maf’ul. Kedua-duanya berasal daripada perkataan إخلاص, yang membawa maksud menyucikan dan membersihkan diri daripada segala anasir selain Allah swt seperti syirik dan riyak. Selari dengan fungsi isim fail dan isim maf‘ul, secara asasnya مُخْلِص merujuk kepada orang yang menyucikan, manakala مُخْلَص pula merujuk kepada orang yang disucikan.

Abu Zur‘ah menjelaskan, sebagaimana yang dinukilkan dalam Taj al-Urus bahawa perkataan مُخْلِصِين (mukhlisin) merujuk kepada mereka yang menyucikan agama dan amalan mereka daripada sifat riya’. Hal ini berdasarkan firman Allah swt:

وَأَخْلَصُوا دِينَهُمْ لِلَّهِ – النساء : ١٤٦

“Dan mereka menyucikan agama mereka semata-mata kerana Allah.”

قُلِ اللَّهَ أَعْبُدُ مُخْلِصًا لَّهُ دِينِ – الزمر : ١٤

“Katakanlah: Hanya Allah yang aku sembah, dalam keadaan aku menyucikan agamaku semata-mata kerana-Nya.”

Semua ini menunjukkan usaha individu dalam membersihkan amalan dan agama mereka daripada sebarang unsur syirik dan riya’.

Adapun مُخْلَصِين (muklasin) ia merujuk kepada golongan yang dipilih dan disucikan oleh Allah swt daripada segala keburukan dan kekejian. Firman Allah swt:

إِنَّا أَخْلَصْنَاهُم بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ – ص : ٤٦

“Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan satu sifat yang murni, iaitu sifat sentiasa mengingati negeri akhirat.”

Kesimpulannya مُخْلِصِين ialah mereka yang berusaha menyucikan diri daripada anasir luar seperti syirik dan riya’, manakala مُخْلَصِين ialah mereka yang dipilih Allah swt dan disucikan daripada segala bentuk kejahatan, termasuk riya’.

Jelaslah bahawa darjat مُخْلَصِين lebih tinggi daripada مُخْلِصِين kerana mereka merupakan pilihan Allah swt yang Maha Mengetahui segala sesuatu sebelum dan selepasnya. Pemilihan ini bersandarkan ilmu dan kebijaksanaan-Nya yang tidak terbatas. Bahkan sebelum mencapai kedudukan مُخْلَصِين, mereka terlebih dahulu adalah daripada kalangan مُخْلِصِين.

Perkataan مخلِصين (mukhlisin) digunakan apabila dalam konteks seruan atau arahan, seperti dalam firman Allah swt :

فادعوا الله مخلِصين

ليعبدوا الله مخلِصين

فادعوه مخْلِصين

Lafaz مخلَصين tidak digunakan dalam konteks ini kerana ia berada di luar kemampuan hamba; ia adalah pilihan dan anugerah daripada Allah swt semata mata.

Kongsikan Artikel Ini: