Nota Sorof | Huruf و ditukar kepada ي

Isi Kandungan

Saya nak kongsikan satu kaedah penting dalam ilmu sorof yang dibahaskan di bawah tajuk al-‘Ilal wa al-Ibdal, iaitu :

إِذَا اجتَمَعَتْ الواوُ والياء وسُبِقَتْ إِحْدَاهُمَا بِالسُّكونِ، قُلِبَتْ الوَاوُ ياءً ثم أدغِمت الياءً فس الياءِ

[ Apabila huruf waw dan ya’ berada bersebelahan dalam satu kalimah, dan huruf yang pertama berkeadaan sukun, maka huruf waw ditukarkan kepada ya’, kemudian huruf ya’ tersebut diidghamkan ke dalam ya’. ]

Contohnya perkataan طَيًّا ; masdar kepada طَوَى يَطْوِي.

Perkataan طَيًّا ini adalah masdar wazan فَعْل. Persoalannya ke manakah huruf waw yang ada pada fi’il madhi طَوَى dan mudhori’ يَطْوِي sebelum ini menghilang?

JAWAPAN:

Rupa asalnya adalah طَوْيًا, wazan فَعْلًا. Kita dapat lihat di situ huruf waw dan huruf ya’ berada bersebelahan sambil huruf yang pertama, iaitu huruf waw berkeaadan sukun. (Yang dimaksudkan dengan “huruf pertama” ialah huruf yang mendahului antara dua huruf waw dan ya’ tersebut, bukan huruf pertama kalimah.) Pada ketika inilah huruf waw ditukarkan kepada ya’, lalu menjadi طَيْيًا. Kemudian huruf ya’ yang pertama diidghamkan ke dalam huruf ya’ yang kedua, menjadikannya طَيًّا. Jelas?

SOALAN :

Adakah keadaan ini hanya berlaku apabila huruf waw berada di hadapan?

JAWAPAN :

Tidak semestinya. Keadaan ini juga boleh berlaku apabila huruf waw berada selepas huruf ya’, dengan syarat kedua-duanya bersebelahan dan huruf yang mendahului berada dalam keadaan sukun. Dalam hal ini, tidak menjadi perbezaan sama ada huruf yang mati itu waw atau ya’. Hasil akhirnya tetap sama, iaitu huruf waw akan ditukarkan kepada ya’.

Sebagai contoh, huruf waw yang berada selepas huruf ya’ yang mati dapat dilihat dalam perkataan مَيِّت. Bentuk asalnya ialah مَيْوِت. Huruf yang mendahului dan berada dalam keadaan sukun dalam kes ini ialah ya’. Huruf waw yang hadir selepasnya kemudian ditukarkan kepada ya’, lalu menjadi مَيْيِت. Seterusnya berlaku proses idgham, menjadikannya مَيِّت. Rujuk posting sebelum ini :

https://www.facebook.com/share/p/16P2FpPQ2J/

Bagi yang ingin mengikuti kelas sorof online, boleh lihat di :

https://www.facebook.com/share/p/1Adfmhb84r/ 

Dengan memahami kaedah ini, kita dapat tahu asal usul شَيًا, لَيَّا, كَيَّا. Kita dapat tahu ke manakah hilangnya huruf waw daripada perkataan جَيِّد, ke manakah hilangnya huruf waw daripada perkataan نِيَّة yang fi’il madhi mudhori’nya adalah نَوَى يَنْوِي. Banyak persoalan kita dapat rungkaikan jika kita memahami kaedah.

Picture of Ustaz Ashafizrol Ab Hamid
Ustaz Ashafizrol Ab Hamid

Pengasas Kelas Bahasa Arab Aljahiz

Kongsikan bacaan ini di: