Aku melihat seorang lelaki yang terserlah serinya, bersih wajahnya. Elok tubuhnya, tidak dicela oleh perut yang besar dan tidak dijelek oleh kepala yang kecil. Tampan, teratur ciptaannya. Hitam pekat di kedua-dua matanya, lentik bulu matanya. Dalam suaranya, kelelakian yang lunak. Lehernya tegak bercahaya, janggutnya lebat. Keningnya panjang melengkung, hampir bertaut di tengah.
Jika diam, diselubungi wibawa. Jika berbicara, tutur katanya mengangkatnya dan keindahan memayunginya. Paling indah dan paling mempesonakan dari jauh, paling manis dan paling elok dari dekat. Manis tutur katanya, tidak pendek dan tidak pula meleret. Tuturnya laksana untaian permata yang luruh satu persatu.
Sederhana tubuhnya, tiada yang kecewa kerana tinggi dan tiada mata yang melepasinya kerana rendah. Seumpama dahan di antara dua, dialah yang paling segar rupanya dan paling luhur nilainya. Dikelilingi teman-teman yang jika dia berbicara, mereka diam khusyuk mendengar dan jika dia menyuruh, mereka segera menyahut. Dihormati dan dikelilingi ramai, tidak pernah masam wajahnya dan tidak pula celaru dalam bicara.
صلى الله عليه وسلم
[Maaf, terjemahan ini memang sengaja dibuat secara literal dengan kaedah pemecahan ayat.]