Q&A Penjelasan kepada ayat لمّا يعلم الله

Isi Kandungan

Q&A | Ustaz, Apakah penjelasan kepada ayat لمّا يعلم الله (Allah belum tahu lagi) sedangkan ilmu Allah itu meliputi yang lepas dan yang terkemudian?

JAWAPAN :

1. Firman Allah swt :

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ – آل عمران : ١٤٢

“Apakah kamu sangka kamu akan masuk Syurga sedangkan Allah belum mengetahui lagi orang-orang yang berjihad dalam kalangan kamu, dan belum tahu lagi orang-orang yang bersabar?”

  • Belum lagi?
  • Allah belum tahu lagi?
  • Allah swt yang pengetahuan-Nya meliputi segenap yang terdahulu dan yang terkemudian belum lagi tahu?

2. Sebenarnya struktur dalam ayat di atas adalah uslub yang biasa digunakan oleh orang Arab. Jelas al-Zamakhsyari di dalam tafsir الكَشَّاف,

“Ungkapan seperti ما علِمَ الله في فُلان خيرًا [ Allah tidak tahu apa-apa kebaikan pada si polan] bermaksud si polan itu memang tidak ada apa-apa kebaikan.

Contoh lain yang diutarakan oleh النسَفيّ di bawah ayat 16 surah al-Taubah ialah :

ما علِم الله منِّي ما قِيلَ فيَّ

“Allah tidak tahu apa yang dikatakan tentang aku itu”.

Maksudnya apa yang dikatakan tentang aku itu adalah tidak wujud. Sesungguhnya tidak ada perkara wujud yang berada di luar ilmu atau pengetahuan Allah swt.

3. Justeru maksud “Allah belum lagi mengetahui orang-orang yang berjihad” adalah “kamu belum lagi berjihad atau jihad belum terbit dari kamu lagi”. Atas perkiraan inilah penterjemah al-Quran menterjemah ayat di atas dengan “Belum ternyata lagi bagi Allah jihad kamu”.

Penafian sebenarnya terarah kepada “jihad”, bukan pengetahuan Allah swt yang kita yakini dengan kemas bahawa tidak ada yang telah atau akan wujud melainkan pengetahuan Allah swt telah pun mendahuluinya.

Kata al-Razi di dalam التفسير الكبير atau مفاتيح الغيب ketika mentafsirkan ayat 16 surah al-Taubah :

ذُكِرَ العلم والمراد منه المعلوم

“Yang disebut adalah “pengetahuan” tapi yang dimaksudkan adalah “perkara yang diketahui”.

Perkara sama turut dinyatakan di dalam tafsir مَدَارِك التنزيل oleh al-Nasafi :

والمراد بنفي العلم نفي المعلوم

“Apa yang dimaksudkan daripada penafian pengetahuan adalah penafian perkara yang diketahui.”

4. Dalam bahasa Melayu kita turut menggunakan gaya bahasa seperti ini. Contohnya apabila kita berkata tentang seseorang, “Aku belum nampak lagi kesungguhannya” bukan bererti kita ingin menafikan “nampak”, sebaliknya kita ingin menafikan “kesungguhannya”.

Cuma ternafinya kewujudan sesuatu secara mutlak disebabkan penafian pengetahuan tentangnya hanya khusus untuk Allah swt. Ini kerana pada selain Allah swt boleh jadi kewujudan sesuatu itu terselindung dan tidak sampai ke pengetahuannya atau penuturnya berhasrat mengelirukan pendengar seperti yang dilakukan oleh Firaun seperti dalam ayat 38 surah al-Qasas.

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرِي

“Dan Firaun pula berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak tahu ada Tuhan lain untuk kalian selainku.”

5. Berhubung struktur لمَّا + فعل مضارع pula terjemahannya adalah “belum lagi”. Sama seperti struktur لَمْ + فعل مضارع + بعدُ. Contohnya :

لمْ يَصِلْ بعدُ / لمّا يصلْ

“Dia belum sampai lagi”.

6. Perkataan أمْ dalam ayat di atas diterjemah dengan “apakah” adalah atas perkiraan أمْ yang membawa maksud همزة الاستفهام “apakah”. Perkataan أمْ membawa maksud أ kerap terjadi dan dibahaskan oleh ulama nahu. Dalam شرح المُفَصَّل oleh ابن يَعِيش contohnya beliau menjelaskan perkara ini dengan agak terperinci.

 

Picture of Ustaz Ashafizrol Ab Hamid
Ustaz Ashafizrol Ab Hamid

Pengasas Kelas Bahasa Arab Aljahiz

Kongsikan bacaan ini di: