Jun 4, 2024
Info Nahu | Maksud & I’rab Ungkapan مَا شَاءَ اللهُ
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Maksud ungkapan ini bergantung kepada cara kita melihat perkataan ما yang terdapat di pangkal ayat itu dari sudut ilmu Nahu sama ada ما الموصولة atau ما الشرطية.

2. Jika perkataan ما dilihat sebagai isim mausul (ما الموصولة) maka kedudukan i’rabnya adalah :

(a) Mubtada’ dan khabarnya digugurkan. Struktur asalnya ialah ما شَاءَ اللهُ كائِنٌ. Maksudnya ialah “Apa yang dikehendaki Allah akan terjadi”.

(b) Khabar kepada mubtada’ yang digugurkan. Struktur asalnya adalah الأَمْرُ ما شاءَ اللهُ. Maksudnya ialah “Perkara ini/itu adalah apa yang Allah kehendaki”.

3. Jika perkataan ما dilihat sebagai isim syarat (ما الشرطية), maka kedudukan i’rabnya adalah maf’ul bihi yang datang sebelum amilnya dan fiil jawab syarat (الجزاء) tidak dinyatakan.

مبني في محل نصب، مفعول به مقدم لشاء والجزاء محذوف تقديره ما شاء اللهُ كان

Struktur asalnya ialah ما شَاءَ اللهُ كَانَ. Maksudnya ialah “Apa sahaja yang dikehendaki Allah pasti akan terjadi.”

Maksud ما الشرطية ialah أَيّ شيء (apa sahaja) dan i’rabnya bergantung kepada fi’il syarat selepasnya sama ada fiil lazim atau mutaaddi. Perkiraan lain lagi turut dilihat kerana ia juga berkemungkinan di’irab sebagai maful mutlaq.

4. Kesimpulannya adalah ungkapan ما شاء الله telah melalui proses pengguguran frasa. Bahagian yang digugurkan itu sama ada mubtada’, khabar atau الجَزَاء / جواب الشرط. Lihat struktur-struktur asal berikut :

ما شاء الله كائنٌ

𝘈𝘱𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘦𝘩𝘦𝘯𝘥𝘢𝘬𝘪 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘵𝘦𝘳𝘫𝘢𝘥𝘪.

الأمر ما شاءَ اللهُ

𝘗𝘦𝘳𝘬𝘢𝘳𝘢 𝘪𝘵𝘶 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘢𝘱𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘦𝘩𝘦𝘯𝘥𝘢𝘬𝘪.

مَا شاءَ اللهُ كانَ

𝘈𝘱𝘢 𝘴𝘢𝘩𝘢𝘫𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘦𝘩𝘦𝘯𝘥𝘢𝘬𝘪 𝘱𝘢𝘴𝘵𝘪 𝘵𝘦𝘳𝘫𝘢𝘥𝘪.

5. Biar apa pun olahannya, ungkapan ما شاء اللهُ mengandungi pengiktirafan hamba bahawa apa sahaja yang terjadi adalah di atas kehendak Allah swt dan berlepas diri daripada perasaan kagum terhadap semata-mata diri sendiri atau selain Allah tanpa mengingati punca sebenarnya, iaitu kehendaki Allah swt.

6. Setelah dilihat struktur asal dan maknanya, kita dapat menghayati hikmah ungkapan ini dianjurkan ketika melihat atau mendengar sesuatu yang mengagumkan. Firman Allah swt :

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّه

[ Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, kamu berkata: “Semuanya ialah apa yang dikehendaki Allah”, “tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah”.]

7. Dengan memahami ungkapan ini, moga kita semua terutamanya diri saya sendiri sentiasa sedar bahawa jika bukan kerana kehendak Allah swt maka tidak ada apa-apa yang berlaku atas kehendak kita.

Kongsikan Artikel Ini: