Ogos 9, 2022
Adakah semua kalimah yang berakhir dengan alif mamdudah adalah isim la yansorif?
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Kalimah عَاشُورَاء adalah isim la yansorif. Kalimah ini menjadi isim la yansorif kerana adanya alif mamdudah (اء) tambahan di hujungnya. Kalimah عَاشُورَاء berasal daripada kalimah عَاشِر yang bermaksud “yang ke-10”. Kalimah عَاشِر adalah wasf (وَصْف). Atas sebab-sebab tertentu seperti ingin membezakannya daripada hari yang ke-10 yang terdapat dalam bulan-bulan lain maka orang Arab ingin mengubahnya kepada isim (اسم). Lalu mereka cipta satu bentuk baharu untuknya, iaitu عَاشُورَاء wazan فَاعُولَاء.

2. Menurut ulama-ulama mu’jam, antara mereka Ibn Duraid, kalimah عَاشُورَاء ini mula didengari pada zaman awal Islam. Pada zaman Jahiliyah orang Arab tidak pernah kenal isim wazan فَاعُولَاء. Menurut ulama’ mu’jam, kalimah تَاسُوعاء untuk hari yang ke-9 (تَاسِع) dihasilkan setelah kalimah عاشُورَاء mula idterima oleh orang Arab.


3. Sangat sedikit kalimah wazan فَاعُولَاء dalam bahasa Arab. Antara lain ialah ضَارُورَاء untuk الضَرَّاء, kalimah سَارُورَاء untuk سَرَّاء, kalimah دَالُولَاء untuk دَلَال dan sebagainya.

4. Berbalik kepada alif mamdudah tadi. Adakah semua kalimah yang berakhir alif mamdudah adalah isim la yansorif? Jawapannya TIDAK.

5. Yang akan menjadi isim la yansorif hanyalah yang berakhir dengan isim mamdud yang hamzahnya adalah huruf zaidah (tambahan). Contohnya أَنْبِيَاء, صَحْرَاء dan sebagainya. Untuk mememahami perkara ini, kita perlu faham terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan isim mamdud.

6. Isim mamdud (الاسْم المَمْدُود) ialah isim yang berakhir dengan huruf hamzah di mana huruf sebelumnya adalah huruf alif (اء) seperti وَضَّاء, سَمَاء, بِنَاء, خَضْرَاء dan sebagainya. Keempat-empat kalimah di atas merupakan isim mamdud. Namun isim mamdud yang menjadi isim la yansorif hanyalah kalimah خَضْرَاء. Adapun وَضَّاء, سَمَاء dan بِنَاء maka semuanya bukan isim la yansorif. Ikuti penjelasannya. Terdapat empat jenis isim mamdud, iaitu :

6.1. Isim mamdud yang hamzahnya (ء) adalah sebahagian daripada komponen asal kalimah. Contohnya وَضَّاء. Asal kalimah ini ialah وَضُؤَ – يَوْضُؤُ – وَضَاءَةً. Sejak dari fi’il madhi lagi hamzah itu sudah pun wujud. Isim mamdud kategori ini bukan isim la yansorif.

6.2. Isim mamdud yang hamzahnya (ء) ditukar daripada huruf و. Contohnya سَمَاء. Asalnya ialah سَمَا – يَسْمُو – سُمُوًّا ، سَمَاوٌ. Apa yang berlaku adalah huruf و berada di hujung kalimah dan sebelumnya terdapat huruf alif tambahan lalu huruf و itu ditukar kepada hamzah. Ini adalah kaedah dalam ilmu sorof yang Tuan / Puan perlu ingat. (تَطَرَّفَتْ الوَاوُ وَقَبْلَهَا أَلِفٌ زَائِدَةٌ فَقُلِبَتْ الوَاوُ هَمْزَةً). Isim mamdud dalam kategori ini juga bukan isim la yansorif.

6.3. Isim mamdud yang hamzahnya (ء) ditukar daripada huruf ي. Contohnya بِنَاء. Asalnya ialah بَنَى – يَبْنِي – بِنَايَة ، بِنَايٌ. Apa yang berlaku adalah huruf ي berada di hujung kalimah dan sebelumnya terdapat huruf alif tambahan lalu huruf ي itu ditukar kepada hamzah. Ini adalah kaedah dalam ilmu sorof yang Tuan / Puan perlu ingat lagi. (تَطَرَّفَتْ اليَاءُ وَقَبْلَهَا أَلِفٌ زَائِدَةٌ فَقُلِبَتْ اليَاءُ هَمْزَةً). Isim mamdud dalam kategori ini juga bukan isim la yansorif.

6.4. Isim mamdud yang hamzahnya (ء) adalah huruf tambahan (زَائِدَة). Contohnya خَضْرَاء (muannath kepada أَخْضَر). Kita tidak pernah lihat pun huruf hamzah dalam kalimah-kalimah melibatkan خَضِرَ (hijau) sebelum ia menjadi خَضْرَاء. Oleh sebab itu kita katakan bahawa hamzah ini adalah huruf tambahan. Jadi isim mamdud jenis ini sahaja yang merupakan isim la yansorif. Isim mamdud seperti dalam perkara 6.1, 6.2 dan 6.3 adalah bukan isim la yansorif.

Contoh lain ialah عُلَمَاء. Kita tidak pernah lihat huruf hamzah pada isim mufradnya عَالِم, pada fi’il madhi, mudhori’ atau masdarnya عَلِمَ, يَعْلَمُ dan عِلْم. Oleh yang demikian kita katakan bahawa hamzah yang terdapat di hujung عُلَمَاء adalah hamzah zaidah / tambahan. Jadi عُلَمَاء adalah isim la yansorif. Samalah penjelasannya berhubung dengan عَاشُورَا dan تَاسُوعَاء.

Kongsikan Artikel Ini: