November 15, 2023
Aku & Pengajaran Bahasa arab
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Soalan 1 : Bagaimana ingin membimbing pelajar dalam membina ayat?

 

Jawapan : Suruh mereka bina ayat yang kita inginkan, bukan ayat mereka nak. Kalau biarkan mereka bina apa sahaja ayat, semua ayat akan betul jika di”copy&paste”.

 

Soalan 2 : Bagaimana mereka nak tahu apa yang kita inginkan?

 

Jawapan : Berikan ayat-ayat dalam bahasa Melayu dan suruh mereka terjemah ayat tersebut. Dengan cara itu tidak timbul lagi soal copy&paste dari teks Arab.

 

Soalan 3 : Bagaimana sekiranya di depan kita terdapat pelajar-pelajar bukan Melayu.

 

Jawapan : Buat persetujuan dengan mereka untuk gunakan bahasa Inggeris. Itu lebih baik dari bahasa Melayu.

 

Soalan 4 : Bagaimana jika tidak tahu bahasa Inggeris?

 

Jawapan : Guna sistem “qawalib” / pola ayat / acuan ayat. Sistem ini bagus tapi jika qawalib / acuan itu tidak bermutu, lemah atau dangkal, maka mereka akan jadi seperti ketam yang belajar dari ketam cara nak berjalan ke depan.

 

Soalan 5 : Adakah binaan ayat dilakukan dengan cara memberi sebarang teks sebagai panduan membina ayat?

 

Jawapan : Tidak. Kita kena selarikan teks panduan membina ayat dengan tajuk yang sedang kita ajarkan. Bukan main campak sahaja.

 

Soalan 6 : Bagaimana dengan vocab?

 

Jawapan : Vocab mesti dibekalkan. Jangan biar pelajar cari sendiri dalam kamus. Nanti mereka akan dibebani dengan dua tugasan, pertama pengstrukturan ayat dan kedua mencari perkataan yang sesuai. Jangan ! Di sini jika guru lemah, dia tidak dapat melakukannya.

 

Soalan 7 : Apakah maksud perkataan yang sesuai?

 

Jawapan : Perkataan yang sesuai adalah perkataan yang sesuai dengan konteks SETELAH mengambil kira unsur kekerapan.

 

Soalan 8 : Bukankah bila kita berikan vocab, dengan sendirinya mereka boleh bina ayat yanh betul? Justeru itu bukan sebuah latihan.

 

Jawapan : Tidak. Vocab yang dibekalkan mestilah vocab mentah. Mereka perlu olah vocab tersebut sejajar dengan kehendak teks Melayu / Inggeris / qawalib. Olahan ini termasuk perujukan diri, perujukan masa, muzakkar muannath, mufrad jamak, jenis musytaqqat (isim fail, sifah musyabbahah, isim maf’ul, isim tafdhil, siyagh almubalaghah), keperluan alif lam dsb.

 

Soalan 9 : Bagaimana dengan susunan tajuk?

 

Jawapan : Inilah modul yang saya bangunkan.

 

Soalan 10 : Bagaimana menarik minat mereka untuk bina ayat?

 

Jawapan : Bagi mereka betul-betul faham tentang aturan, kemudian bagi latihan. Bila mereka mula menjawab, kemudian betul, maka dengan sendiri mereka termotivasi untuk meneruskan latihan lain.

 

Soalan 11 : Bagaimana kami yang terikat dengan buku teks sekolah?

 

Jawapan : Pergi tanya Kementerian Pelajaran Malaysia bahagian pembangunan sukatan pelajaran.

 

Soalan 12 : Bagaimana pula dengan kami yang berada di universiti? Kami terikat dengan subjek-subjek ilmu.

 

Jawapan : Boleh teruskan dengan “keterikatan” itu, kemudian jangan persoal lagi selepas ini mengapa pelajar lepasan universiti tidak mampu menggunakan bahasa Arab dalam penulisan atau percakapan.

 

Soalan 13 : Di awal tadi disebut “terjemahan’. Adakah kamu wahai Ashafizrol maksudkan bidang terjemahan?

 

Jawapan : Oh tidak. Saya tidak maksudkan bidang terjemahan. Terjemahan dalam latihan binaan ayat hanyalah sebagai panduan agar ayat yang dibina bersasar, bukan semberono. Misalnya ayat, أريد أن أذهب dan أريد أن تذهب. Tanpa ayat panduan, kedua-dua ayat tersebut betul. Tapi jika kita letak ayat panduan, “Saya mahu kamu pergi”, maka ayat pertama salah.

 

Soalan 14 : Bukankah cara kamu ini memerlukan seseorang guru yang benar-benar menguasai bahasa Arab.

 

Jawapan : Ya. Tanggung jawab guru bukan sekadar mengajar tapi juga belajar. Kualiti diri mesti terus dipertingkatkan sampai ke akhir hayat agar kita dapat menyajikan maklumat yang tepat dan berkualiti kepada mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita.

 

Banyak sungguh masa saya sekarang. 😄😄 Banyak lagi saya ingin perkatakan, tapi saya takut mengguris perasaan kawan-kawan saya dalam bidang pengajaran bahasa Arab ini. Cukuplah sekadar ini dulu.

Kongsikan Artikel Ini: