Jun 6, 2022
Apa yang didengar, itu yang digunakan.
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid
[ Pengalaman saya mempelajari bahasa Arab ]

Sehingga hari ini, sudah hampir 22 tahun saya mempelajari bahasa Arab. Sepanjang tempoh itu, saya hanya meniru apa sahaja yang ditulis atau dituturkan oleh orang Arab. Sepanjang tempoh ini, saya hanya berpada dengan apa yanh orang Arab gunakan sahaja, baik dari sudut pemilihan kalimah, konjugasi mahupun uslub. Hanya meniru. Soalan yang saya ajukan biasanya adalah seperti ;

“Bagaimana hendak ungkapkan ini dan itu?”

“Apa orang Arab panggil benda ini?”.

Saya tidak pernah buat andaian, meneka atau mengagak. Ini adalah peraturan yang saya patuh sepanjang tempoh 22 tahun ini. Jika saya tahu, maknanya saya tahu. Jika saya mengagak atau meneka, maknanya saya tidak tahu. Itulah falsafahnya.

Sepanjang tempoh ini, saya tidak pernah mengajukan soalan seperti “Boleh tak guna perkataan ini menggantikan perkataan itu?” setelah saya diberitahu tentang sesuatu makna atau cara menggungkapkan sesuatu. Saya tidak pernah bertanya soalan begitu kecuali jika saya pernah dengar orang Arab juga pernah menggunakannya. Saya tidak pernah membuat andaian. Saya hanya berpada dengan perkataan atau ayat yang diberikannya kepada saya sahaja. 

Bertanya soalan di atas tidak salah. Langsung tidak salah, bahkan mungkin bermanfaat pada sesetengah orang. Tapi untuk diri saya, saya tidak akan bertanya. Sebab saya adalah peniru tegar hehe. Saya percaya bahawa bahasa adalah meniru tanpa banyak soal asalnya sumbernya adalah penutur jati atau diyakini kejatian bahasanya. 

Bayangkan kalau anda berkaya kepada seorang bangsa asing yang sedang belajar bahasa Melayu, “Potong kayu itu”. Kemudian dia bertanya, boleh tak saya guna perkataan “hiris”, “kelar”, “putuskan”? Anda tahu semua itu tidak boleh untuk ayat “potong kayu itu” tapi masalahnya adalah hendak menjelaskannya kepadanya. Anda akan rasa tertekan untuk menjelaskannya satu persatu. Jadi cara terbaik adalah dengan berkata, you guna perkataan “potong” sudahlah. Jangan bagi saya pening.

Dalam meniru ini, saya meniru segala-galanya termasuklah kesilapan-kesilapan bahasa yang sudah mengambil tempat yang kukuh dalam penggunaan bahasa Arab. Misalnya مبروك , رئيسي, وبالتالي, أنا كطالب  dll. Saya tidak teragak-agak untuk mengucapkan مبروك walaupun ia diperbahaskan kerana majoriti orang Arab menggunakannya. Kalau satu perkataan مبارك sahaja yang betul, tapi ayat sebelum dan selepasnya salah, apa gunanya?

Saya meniru tanpa banyak soal. Tanpa bertanya apa i’rabnya, apa itu dan ini. Sebabnya ialah saya tidak mahu masa saya terbuang dengan persoalan picisan. Apa yang saya inginkan adalah mampu menggunakan bahasa Arab macam orang Arab. Mampu bercakap seperti mereka, menulis dan membaca seperti mereka.

Kenapa saya lakukan semua ini? Kenapa saya hanya meniru?  Kenapa saya tidak mahu mengolah? Sebab saya bukan seorang pelajar yang cerdik. Saya perlu jadi macam kanak-kanak yang setiap harinya dihabiskan untuk bermain, makan dan meniru bahasa ibunya.

Orang yang rapat dengan saya akan tahu perkara ini 😀😀

Ustaz Ashafizrol Ab Hamid

Kongsikan Artikel Ini: