Februari 19, 2023
Apakah i’rab dhomir munfasil marfu’ yang terdapat selepas إنْ الشرطية / إذا الشرطية dalam ayat seperti إِنْ أنْتَ فعلتَ ذلك / إذا أنت فعلت ذلك?
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Dhomir munfasil tersebut adalah fa’il kepada fi’il yang ditakdirkan selari dengan fi’il yang dinyatakan selepasnya, iaitu فعلْتَ. Asalnya adalah إنْ فعَلْتَ فَعَلْتَ ذلك.

Struktur ini kerap digunakan oleh Imam Abdul Qahir al-Jurjani di dalam دلائل الإعجاز.

Contohnya :

إن أنت زعمتَ .. / إذا أنت أردتَ.. / إذا أنت لم ترِدْ .. / إنْ أنتَ حصَّلتَ.. / …

2. Untuk memahami perkara ini kita perlu tahu satu kaedah, iaitu :

لَمَّا حُذِفَ الفعلُ انْفَصَلَ الضميرُ

“Ketika fi’il digugurkan maka dhomirnya akan terpisah.”

Yakni dhomir yang asalnya mustatir atau muttasil marfu’ akan muncul sebagai dhomir munfasil marfu’ setelah fi’ilnya digugurkan.

Dalam kes إنْ أنتَ فعلْتَ, asalnya adalah إنْ فعلتَ فعلتَ. Kemudian fi’il فعلْتَ pertama digugurkan lalu dhomir muttasil التاء itu terus muncul sebagai dhomir munfasil, iaitu أنتَ. Maka jadilah إنْ أنتَ فعلتَ.

3. Kenapa kita tidak terus kata bahawa أنتَ adalah fa’il kepada fi’il فعلتَ selepasnya?

JAWAPAN : Ada dua sebab kita tidak boleh berkata begitu. Pertama fa’il mesti berada selepas fi’il dan kedua fa’il kepada فعلتَ sudah ada, iaitu التاء itu. [ Jangan hilang fokus dan jangan keliru, terdapat dua فعلتَ dalam kes ini. Pertama yang dinyatakan dalam ayat dan kedua yang tidak dinyatakan. ]

4. Kenapa kita perlu bersusah payah mengi’rab أنتَ sebagai fail segingga terpaksa andaikan kewujudan fi’il sebelumnya?

JAWAPAN : Sebab إنْ adalah kata syarat. Ketetapan amnya adalah jumlah (ayat) selepas kata syarat mestilah jumlah fi’liyyah.

5. Kesimpulannya أنْتَ itu walaupun kelihatan satu kalimah namun sebenarnya ia adalah jumlah fi’liyyah yang melalui proses seperti yang diterangkan dalam perkara 2 di atas. Statusnya adalah jumlah syarat kepada kata syarat إنْ yang terdapat sebelumnya atau مضاف إليه jika kata syaratnya adalah إذا.

Manakala jumlah فعلتَ yang dinyatakan pula, yakni selepas أنت itu statusnya adalah جملة تفسيرية لا محل لها من الإعراب.

6. Apakah perbezaan di antara إنْ فعلْتَ dan إنْ أنتَ فعلْتَ ?

JAWAPAN : Perbezaannya pada sudut penekanan di mana إنْ أنتَ فعلتَ mengandungi unsur penekanan yang lebih berbanding إنْ فعلتَ. Ini kerana إنْ أنتَ فعلتَ hakikatnya adalah إنْ فعلتَ فعلتَ ذلك. Dua kali diulangnya فعلتَ.

7. Cara ungkapkan i’rab ini dalam bahasa Arab adalah seperti berikut :

إنْ : شرطية

أنتَ : فاعلٌ لِفعلٍ مُقَدَّرٍ يُفَسِّرُهُ ما بعدَهُ / يفسره المذكُور / فاعل لفعلٍ محذوف … / فاعل لفِعلٍ مقدرٍ نظيرِ المذكورِ/ فاعل لفِعْلٍ مُضْمَر والفاعل للفعل المحذوفِ المفَسَّرِ بالفعلِ المذكورِ جملة الشرط.

جملة (فعلتَ) : مُفَسِّرَة / تفسيرية لا محل

لها من الإعراب

Untuk إذا أنت فعلتَ ذلك, kita kata :

والفاعل للفعل المحذوف المُفَسَّرِ بالفعلِ المذكورِ في محل جرٍّ بالإضافة.

[ Berhubung dengan ungkapan مُضْمَر, ia bermaksud “disembunyikan”. Hal ini tertakluk kepada pendirian kita berhubung khilaf sama ada fi’il dalam kes seperti ini sekadar disembunyikan (جائز الحذف) atau sememannya tidak boleh dinyatakan (واجب الحذف) memandangkan sudah dinyatakan selepasnya. Ini membawa kita kepada perbahasan اجتماع المفسِّر والمفَسَّر dan akhirnya akan membawa kepada perbezaan istilah مُضْمَر dan محذوف. Dan tidak dinafikan ada juga yang menggunakan kedua-dua istilah itu tanpa mengambil kira soal جائز الحذف dan واجب الحذف. Perbahasan ini agak panjang sebenarnya.]

8. Begitu juga sekiranya kalimah selepas إنْ الشرطية itu adalah isim zohir seperti إنْ زيدٌ جاءَ. I’rabnya sama, iaitu :

إن : شرطية

زيد : فاعل لفعل محذوف يفسره ما بعدهُ

جاء : جملة مفسِّرة لا محل لها من الإعراب

8. Sama juga keadaannya dengan kata-kata syarat yang lain seperti لَو, إذا. Contohnya :

لو أنتم تملكون – الإسراء

إذا السماء انشقتْ – الانشقاق

أنتم : فاعل لفعل محذوف يفسره المذكور والتقدير لو تملكون تملكون.

جملة (تملكون) : مفسرة لا محل لها من الإعراب.

9. Adakah terdapat kemungkinan i’rab lain untuk dhomir أنت itu?

JAWAPAN : Ya, ia juga boleh di’rab sebagai taukid. Disebut dalam al-Kafiyah :

ومضمر الرفع الذي قد انفصل … أكد به كل ضمير اتصل

[ إنْ أنتَ فعلتَ .. ]

أنت : تأكيدٌ للضمير المتصل بالفعل المحذوف تقديره إِنْ فعلتَ أنتَ فعلتَ.

Tapi i’rab ini tidak dapat diaplikasikan ke atas isim zohir, seperti إٍنْ أحد من المشركين استجارك atau إنْ امرأة خافتْ من بعلها dsb.

Atas sebab penyelarasan di antara dhomir dan isim zohir yang terletak selepas kata syarat maka adalah lebih baik diselarikan dengan mengi’rabnya sebagai fa’il bukan tawkid.

10. Bentuk-bentuk i’rab yang saya nyatakan di atas adalah berdasarkan cara i’rab yang sudah popular dalam kalangan مُعْرِبِين tanpa mengambil kira mazhab-mazhab tertentu seperti Kufah berhubung keharusan fail datang sebelum fi’il, keharusan kata syarat berada sebelum isim (jumlah ismiyyah), berhubung kemungkinan yang dihazaf adalah كان pada ayat seperti لو أنتم تملكون yang berkemungkinan asalnya لو كنتم تملكون dll.

11. Jika disoal bagaimana dhomir munfasil marfu’ boleh menjadi fa’il sedangkan yang biasa kita dengar dhomir muttasil marfu’ sahaja yang menjadi fa’il?

JAWAPAN : Dhamir munfasil marfu’ boleh menjadi fa’il dalam beberapa keadaan. Antaranya apabila ia adalah jelmaan dhomir muttasil yang digugurkan fi’ilnya seperti kes ini. Antaranya lagi dalam kes فاعل سد مسد الخبر seperti :

خلِيلَيَّ ما وافٍ بِعهديَ أنتمَا # إذا لم تكونَا لي على مَن أُقاطِع

Dhomir أنتما di situ adalah fa’il kepada وافٍ sebelumnya.

Kongsikan Artikel Ini: