Menelaah karya-karya klasik kerap kali membawa kita kepada frasa-frasa seperti مُعْجَمَة, مُهْمَلَة, مُثَلَّثَة dan sebagainya. Persoalannya apakah fungsi dan maksud frasa-frasa ini?
1. Sebelum pergi kepada fungsi lebih baik disenaraikan terlebih dahulu frasa-frasa berkenaan serta maksudnya :
– muhmalah (مُهْمَلَة) : tidak bertitik
– mu’jamah (مُعْجَمَة) : bertitik
– muwahhadah (مُوَحَّدَة) : bertitik satu
– muthannah (مُثَنَّاة) : bertitik dua
– muthallathah (مُثَلَّثَة) : bertitik tiga
– fauqiyyah (فَوْقِيَّة) : bertitik di atas
– tahtiyyah (تَحْتِيَّة) : bertitik di bawah
– musyalah (مُشالَة ) : terangkat
2. Fungsinya adalah menerangkan sifat fizikal abjad Arab dalam sesuatu kalimah. Ini kerana sebahagian abjad Arab berkongsi bentuk yang sama dan satu-satunya elemen yang membezakannya adalah titik. Huruf حـ misalnya, bentuknya sama sahaja dengan خـ dan جـ. Tanpa titik, ia adalah ha’. Titik di atas, kha’. Titik di bawah, jim.
Misalnya seorang pengarang pada zaman sebelum wujudnya mesin cetak menulis perkataan سلة. Tiba-tiba dia terfikir kalau-kalau ada orang menyangka yang dia maksudkan شلة, dengan huruf syin (ش) tapi telupa titik. Maka untuk mengelak perkara ini, dia pun tulis بالسين المهملة selepas perkataan سلة tadi.
3. Bukankah letak titik pun sudah cukup? Ya sudah cukup. Tapi dia masih khuatir jika para penyalin selepas ini menganggap titik itu diletakkan oleh penyalin lain sebelumnya, bukan diletakkan oleh pengarang sendiri. Bagi menyelesaikan masalah ini ulama menggunakan frasa-frasa di atas.
4. Lihat contoh berikut :
والحبرة: بالحَاء المُهْمَلَة المَكْسُورَة، وَبَعْدَهَا المُوَحَّدَة المَفْتُوحة وبعدها الرَّاء المهملة
Frasa الحاء المهملة menafikan huruf kha’ (خ) dan jim (ج) kerana kedua-duanya mempunyai titik.
Frasa المُوَحَّدة (bertitik satu) menafikan huruf ta’ (ت) kerana ia mempunyai dua titik dan tha’ (ث) kerana ia mempunyai tiga titik. Jika dirasai ada kemungkinan orang melihat huruf ب pada kalimah الحبرة itu sebagai nun, mereka akan ungkapkannya sebagai المُوَحَّدَة التَّحْتِيَّة (berbaris satu di bawah).
Frasa الراء المهملة menafikan huruf zai (ز).
5. Bagaimana kita hendak menerangkan huruf tha’ (ث)? Kita kata بالثاء المُثَلَّثَة. Tak perlu dinyatakan الفَوْقِيَّة ? Tidak perlu kerana tidak ada huruf yang bertitik tiga di bawah dalam bahawa Arab.
6. Bagaimana dengan huruf zo’ (ظ)? Kita kata بالظَّاء المُعْجَمَة (bertitik). Kenapa kita tidak perlu letak المُوَحَّدَة (bertitik satu)? Sebab tidak ada huruf bentuknya begitu bertitik dua atau tiga. Jika dikhuatiri ada yang memahaminya dengan huruf dhod (ض) maka kita tambah المُشالَة (terangkat / menegak).
7. Bagaimana dengan huruf lam (ل)? Kita sebut باللام sahaja. Tanpa frasa-frasa tadi? Ya, kerana tidak ada huruf yang sama bentuknya dengan lam. Ingat, frasa-frasa di atas hanya digunakan untuk huruf-huruf yang bentuk fizikalnya sama sahaja. Kita tidak perlukan frasa-frasa penerang ini untuk huruf alif, mim, kaf, waw dan sebagainya. Saya rasa sahabat-sahabat sudah Nampak bagaimana ia berfungsi.
8. Adakah perkara ini dilakukan kepada semua kalimah yang ditulis pada zaman dahulu? TIDAK. Ia hanya dilakukan ke atas kalimah-kalimah yang kritikal sahaja di mana jika tidak diterangkan pasti akan berlaku kesilapan dalam menentukannya.