Februari 22, 2023
Bahasa dan Persekitaran
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Mempelajari bahasa Arab di tanah Arab merupakan anugerah kehidupan yang mesti dimanfaatkan sebaik mungkin dan jangan sesekali disia-siakan. Ramai sahabat-sahabat di sini yang mengimpikannya tetapi tidak mendapat peluang tersebut termasuklah empunya posting ini. Berada di bumi Arab bermaksud kita sedang berada di sebuah madrasah terbuka yang semua persekitarannya adalah sumber bahasa. Tinggal lagi sejauh mana kita dapat mencerap sumber-sumber tersebut dan memanfaatkannya sahaja.

Ya, peka terhadap persekitaran. Telinga dan mata mesti berfungsi dengan sebaik mungkin. Bila berada di satu-satu tempat, cuba cerap apa yang didengar, tulis dan tanya orang lain jika tidak faham maksudnya. Cuba untuk mengingati dan memahami apa yang didengari supaya sekurang-kurangnya kita tidak dipermainkan. Kita tahu sama ada apa yang dikata itu pujian atau sebaliknya.

Jika tidak, maka jangan hairan bila seseorang berkata (رَبِّنَا مَا يَحْرِمَكْ مِنَ الهَبَلْ) lalu kita menyahut (اللهُمَّ آمِين). Sebabnya kita tak tahu yang ungkapan itu satu penghinaan. Maksudnya “Moga Tuhan kurniakan kebodohan kepada kamu”.

Jangan hairan kalau seseorang datang dengan senyum lebar dan berkata (إِنْتَ عَبِيطْ : “Kamu dongkey / bodoh”) lalu kita tersenyum dan menjawab “أيوا نعم”. Masih lagi tersenyum-senyum saat orang berlakang berkata بَلَاش لُكَاعَة. Ungkapan itu bermaksud “Jangan lengai” (يا وَاد امْشِ بَلَاش لُكَاعَة).

Contoh lain, dia kata إِنْتَ ابنُ الإِيْه mengunakan intonasi ayat penyata. Jaga baik-baik, ayat ini bukan bermaksud “kamu anak siapa?”. Tapi maksudnya adalah ‘kamu anak lembu”. Perkataan الإيه dalam bahasa Qibtiyyah bermaksud بَقَرَة (lembu).

Dengan persekitaran kita dapat belajar macam-macam termasuklah ucapan sopan dan tidak sopan. Jadi kita ambil tahu semuanya. Soal menggunakannya itu soal kedua. Tahu dahulu. Banyaklah ungkapan-ungkapan tidak sopan yang dapat kita dengar jika kita berada di bumi Arab seperti الله يِخَرِّب بِيتَك, الله يِلعَنَك, يَا أهْبَل, يَا طَايِش, يَل مِدَهْوِل dan lain-lain yang saya tidak selesa menyebut di sini. Tujuan kita mengetahui semua ini hanya satu, iaitu untuk tahu sahaja, bukan mengulanginya semula. Sabda Nabi s.a.w ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذيء.

Semua itu contoh di Mesir. Setiap negara atau tempat mempunyai ungkapan-ungkapan tidak sopan atau ungkapan-ungkapan kasar ini. Saudi misalnya kita ada صَايِع (gila), يِدَرْبِي رَاسُه (hanguk kepada tapi tak tau apa). Termasuklah ungkapan-ungkapan tidak sopan yang berunsur lucah yang mustahil saya tulis di sini. Ambil tahu semua ini dan simpan rapi supaya kita tahu, bukan untuk menggunakannya. Poinnya di sini ialah peka dengan persekitaran. Dengar dan cuba untuk memahami. Cari rakan Arab untuk berbual.

Kongsikan Artikel Ini: