Sesiapa sahaja yang pernah mengi’rab sesuatu “kalimah; perkataan” atau “jumlah; ayat” bahasa Arab pasti tahu betapa pentingnya memahami teks terlebih dahulu sebelum meng’irabnya. Hakikat ini turut ditegaskan oleh Ibn Hisyam sendiri di dalam bukunya Mughni al-Labib. Kata beliau:
وأول واجب على المعرب أن يفهم معنى ما يعربه، مفردا أم مركبا
“Perkara pertama yang mesti dilakukan oleh peng’irab adalah memahami apa yang ingin dii’rabnya, sama ada yang ingin dii’rab itu merupakan sebuah kata atau frasa”. Mughni al-Labib 2/675
Cerita beliau;
Ada seorang guru Quran berkata kepada muridnya, “perkataan نَعَمْ dalam bait ini ialah huruf jawab (kata pengia)”. Bait yang dimaksudkan ialah:
لَا يَيْعِد الله التلَبُّب والغارات إذ قال الخميس نَعَمْ
Namun apabila difikirkan semula kebingungan menyelubungi mereka. Ayat menjadi kekok dan janggal. Tidak tahu hujung pangkalnya.
Hal ini kerana mereka cuba mengi’rab sesuatu yang mereka sendiri tidak memahami maksudnya. Ternyata perkataan نَعَم di sini bukan huruf jawab (حرف جواب), tetapi ia adalah mufrad kepada kalimah أنْعَام.
Cerita Ibn Hisyam lagi;
Suatu ketika Abu Hayyan bertanya kepadaku, “Frasa بِحَقَلَّدِ dalam bait Zuhair ini ma’thuf kepada siapa?”. Bait tersebut ialah:
تَقِيّ نَقِيّ لم يكثِّر غنيمة # بِنهكة ذي قربى ولا بِحَقَلَّدِ
Aku lantas berkata, “Sehingga aku dapat tahu terlebih dahulu apakah makna حَقَلَّد”. Kemudian kami mencari apakah makna perkataan حَقَلَّد itu.
Kata al-Syalubin, “Diceritakan kepadaku salah seorang anak murid besar al-Juzuliy ditanya tentang I’rab perkataan كَلَالَة dalam ayat وإِنْ كَان رجل يُورَث كَلَالَة أَو امرأة. Lalu murid besar itu berkata, “Beritahu aku apakah maksud كَلالة”.
Jadi jika ada yang tertanya-tanya berhubung kesukaran mengi’rab maka soalan yang perlu diajukan kepadanya terlebih dahulu ialah “Adakah kamu faham kata atau frasa yang ingin kamu I’rab ini?”. Jika tidak, faham dahulu kemudian baru I’rab.
Orang yang paling memahami teks yang ingin di’irab adalah orang yang paling berhak untuk mengi’rab. Jika ditakdirkan Zuhair bin Abi Sulma, Imru’ ibn al-Qais dan penyair-penyair Jahiliyy lain hidup pada zaman seperti zaman Ibn Hisyam al-Ansari serta menukuni ilmu I’rab, maka merekalah orang paling berhak mengi’rab bait-bait syair mereka kerana mereka lebih tahu apakah maksud setiap kalimah dan setiap ayat yang terdapat di dalam bait-bait syair mereka.
Seseorang akan benar-benar menguasai i’rab dan dapat melakukannya dengan baik apabila;
PERTAMA : Ia menguasai bahasa Arab dari sudut perbendaharaan kata dan uslub. [ Untuk sampai ke tahap ini pelajar harus banyak membaca buku-buku seperti Kalilah wa Dimnah, buku-buku al-Jahiz seperti al-Bayan wa al-Tabyin, al-Hayawan, albukhala’ dll, dan seterusnya al-Masal al-Thair Ibn Athir dll. Tidak lupa juga al-Quran yg sepatutnya dibaca sekurang-kurangnya satu hari satu juz. Ini pada hari malas. Kalau hari biasa sepatutnya satu hari 4 juz.]
KEDUA : Menekuni ilmu Nahu secara teratur dan menyeluruh. Mula dengan al-Ajurrumiyyah, kemudian Qatrun Nada, kemudian Syuzur al-Zahab, kemudia alFiyyah Ibn Malik dan syarah-syarahnya seperti Ibn Aqil dan Audhah al-Masalik di samping Mugni al-Labib, dan seterusnya Syarh al-Tashil Ibn Malik di samping Ma’ani al-Quran lil Farra’, Kitab Sibawaih dan lain-lain.