Petikan buku “Kata & Frasa Bahasa Arab ; Ilmu Sorof Moden”.
Imbuhan است
Dari sudut penggunaan, imbuhan است terbahagi kepada dua. Pertama digunakan secara qiyasi dan kedua digunakan secara sama’i.
PERTAMA : Penggunaannya dianggap sebagai qiyasi apabila fungsinya adalah :
“Meminta atau memohon sesuatu tindakan yang ada kena mengena dengan kata dasar sesuatu fi`il berlaku atau dilakukan.”
Misalnya tindakan مَغْفِرَة ‘pengampunan’ ada kena mengena dengan غَفَرَ. Apabila imbuhan است dimasukkan kepadanya (استغفر), maka wujudlah maksud yang baharu, iaitu ‘memohon ampun’. Begitu juga dengan تَعْلِيم (عَلَّمَ) ada kena mengena dengan عَلِمَ, maka setelah dimasukkan imbuhan استَعْلَمَ, ia akan bermaksud ‘meminta agar dibertitahu (bertanya). Tindakan نَجْدَة ‘pertolongan’ ada kena mengena dengan نَجَدَ, jadi اسْتَنْجَدَ bermaksud ‘mohon pertolongan’. Tindakan إيقَاد النَّار ‘menyalakan api’, setelah dimasukkan imbuhan, iaitu استَوْقَدَ maka maksudnya ialah ‘meminta agar dinyakan api (طَلَبَ أَنْ تُوقَدَ لَهُ النَّار).
Contoh lain lagi ialah tindakan تَأْخِير ‘mengemudiankan’ yang ada kena mengena dengan perkataan أخر. Apabila dimasukkan imbuhan است (اسْتَأْخَرَ), maka maksudnya ialah ‘minta dikemudiankan’. Begitu juga اسْتَقْدَمَ yang merujuk kepada tindakan تَقْدِيم ‘mendahulukan’.
فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
“Bila sampai ajal mereka, maka mereka tidak akan dapat meminta agar dikemudiankan walaupun sesaat atau didahulukan”. (Dikemudiankan dan didahulukan (dipercepatkan) daripada ajal yang telah ditetapkan).
KEDUA : Penggunaannya dianggap sebagai sama’i. Ia akan dianggap sebagai sama`I apabila fungsinya ialah:
1. Menunjukkan sesuatu tindakan yang berlaku atau dilakukan setelah melalui proses yang sukar dan dengan menggunakan tenaga yang lebih.
Misalnya tindakan تَسْلِيم النَّفْس ‘menyerah diri’ yang ada kena mengena dengan perkataan سَلِمَ. Apabila dimasukkan imbuhan (اسْتَسْلَمَ), maka maksudnya ialah ‘menyerah diri’. Perbuatan tersebut bukan dilakukan dengan mudah, sebaliknya setelah melalui usaha gigih dan proses yang sukar. Begitu juga dengan perkataan نَبَطَ الشَّيْءَ ‘mengeluarkan sesuatu’. Bila dimasukkan imbuhan, اسْتَنْبَطَ, maka maksudnya ialah ‘mengeluarkan sesuatu selepas melalui proses yang sukar atau usaha yang gigih’. Perkataan اسْتَخْرَجَ menunjukkan proses إِخْرَاج ‘mengeluarkan’ yang berlaku dengan sukar. Jadi bila orang kata اسْتَخْرِجْ ‘keluarkan’, maka ia bukan seperti mengeluarkan ketul ais dari gelas.
Contoh lain lagi ialah نَشِقَ الهَوَاءَ ‘menyedut udara’. Tapi apabila menyedut air, maka ia tidak semudah menyedut udara, oleh sebab itu kita gunakan اسْتَنْشَقَ الماءَ ‘menyedut air dengan hidung’. Begitu juga dengan اسْتِنْثَار ‘mengeluarkan air’. Walaupun ia tidak sukar, tapi disebabkan kedua-duanya berlaku secara berdampingan, maka imbuhan yang sama dimasukkan kepadanya.
2. Digunakan untuk menunjukkan makna mendapati, menilai, melihatnya, menganggap atau menyifatkan.
Misalnya اِسْتَحْسَنَ ‘Mendapati / menilai ianya baik’, اِسْتَكْثَرَ ‘Menganggap / menilai ianya terlalu banyak’, اِسْتَثْقَلَ ‘Mengganggap / melihat ianya terlalu berat’, اِسْتَقْبَحَ ‘Menilai ianya hodoh’, اِسْتَصْغَرَ ‘Menyifatkan / menganggap ianya kecil (memperlekah).
P/s : Ketika menterjemah, anda harus sesuaikannya dengan aturan-aturan atau rasa bahasa yang terdapat di dalam bahasa Melayu. Contohnya:
المتَفَائل دَائِمًا يسْتَحْسِن أَفْكَارَ الآخَرين
Orang yang optimis sentiasa memandang baik pendapat orang lain.
لَا تَسْتَكْثِرْ شَيْئًا قَدَّمْتَهُ لِوَالِدَيْكَ
Jangan rasa banyak dengan apa yang telah kamu berikan kepada kedua-dua orang tuamu.
3. Digunakan untuk membuat perbandingan setara antara subjek dan predikat. Contohnya اسْتَحْجَرَ الطِّين ‘Tanah liat itu menjadi seperti batu’, اسْتَوْنَقَ الجَمَلُ ‘Unta jantan itu bertukar menjadi seperti unta betina’, اسْتَأْسَدَ ‘menjadi seperti singa’, اسْتَفْيَلَ ‘menjadi seperti gajah’.
4. Menunjukkan prihal mengambil atau menjadikan / membuatkan sesuatu sebagai pekerja atau petugas (yang berfungsi memberikan perkhidmatan tertentu kepada subjek).
Contohnya اسْتَأْجَرَهُ ‘menjadikan sesuatu sebagai pemberi perkhidmatan’. اسْتَأْجَرَ البَيْتَ ‘menyewa rumah’, yakni rumah itu berfungsi memberi perkhidmatan kediaman kepadanya, bukan pemilikan.
لَا تسْتَعْبِدْ النَّاسَ
Jangan buat orang jadi hamba
5. Digunakan untuk menunjukkan tibanya masa sesuatu tindakan dilakukan. Contohnya اسْتَرَمَّ الحَائِط ‘Sudah tiba masanya dinding itu diperbaiki’.
6. Digunakan untuk tujuan berlebihan dalam menggambarkan sesuatu. Disebabkan ia digunakan terlalu kerap, maka kita tidak boleh lagi menerimanya sebagai satu bentuk mubalaghah ‘gambaran berlebihan’. Contohnya اسْتَمَرَّ ‘berterusan’, اسْتَقَرَّ ‘menetap / berada di sesuatu tempat dll’. Tapi sekiranya ia jarang digunakan, maka ketika itu bolehlah untuk dikatakan mubalaghah, seperti : اسْتَعْجَمَ, استَنْقَعَ الماء dan sebagainya.
7. () Masih ada lagi yang saya rasa post ini akan menjadi panjang lebih sekiranya saya terus menerangkannya.
8. Boleh rujuk keterangan lanjut berkaitan wazan-wazan lain dalam buku saya “Kata & Frasa Bahasa Arab; Ilmu Sorof Moden”.
Untuk pembelian buku, klik pautan berikut: https://aljahiz.my/buku/