Februari 19, 2023
Hikmah penggunaan huruf jar عَلَى pada ayat-ayat seperti أولئك على هدى من ربهم
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Terdapat beberapa ayat seperti itu di dalam al-Quran, iaitu menggunakan huruf jar على (di atas) sebelum perkataan هُدًى (petunjuk). Antaranya إنك على هدى مستقيم [ al-Hajj ] dan وإنا أو إياكم لعلى هدى [ Saba’ ].

2. Kalau dilihat terjemahan al-Quran, ia diterjemahankan seperti berikut : “Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan Mereka.”

Saya pasti ada terjemahan lain lagi yang saya tidak dapat rujuk dengan baik sekarang. Sahabat-sahabat boleh kongsikan versi-versi terjemahan lain di ruangan komen nanti. Apa yang saya ingin ketengahkan adalah hikmah penggunaan على di situ dari sudut ilmu Balaghah.

3. Kita tahu bahawa antara makna على adalah “di atas”. Kenapa “di atas”? Kenapakah “di atas petunjuk”? Apakah hikmahnya?

Kalimah هُدًى (petunjuk) di sini seperti yang diterangkan oleh para ulamak tafsir seperti أبو البقاء العكبري (w:616h) dalam kitab التبيان adalah umpama binatang tunggangan seperti unta, kuda atau kenderaan seperti kapal layar, bahtera dsb yang dinaiki oleh orang-orang yang beriman. Penunggang (راكب) dan yang ditunggang (مركوب). Penunggang akan berada ‘di atas’ على sesuatu yang ditunggangi. Dari situlah datangnya penggunaan huruf jar على (di atas). Saya harapa rakan-rakan dapat memahaminya dengan baik.

5. Gambaran al-Quran ini sangat jelas, terang dan serius. Kita bukan sekadar menaiki tunggangan yang dipandu oleh seseorang yang arif selok-belok jalan yang sudah pasti akan membawa ke destinasi yang tepat, tapi lebih daripada itu kita sedang berada di atas petunjuk (هُدًى) itu sendiri, menaikinya, menungganginya.

6. Petunjuk itu yang kita naiki, maka tidak mungkin kita akan sesat. Hakikat ini diulang beberapa kali di dalam al-Quran :

من يهد الله فهو المهتدي (الأعراف)، ومن يهد الله فهو المهتد (الإسراء / الكهف)، ومن يهد الله فما له من مضل (الزمر).

Melainkan jika Tuhan petunjuk itu sendiri mahukan kita sesat atas tindakan-tindakan zalim kita sendiri lakukan sehingga tidak layak untuk mendapat petunjuk seperti firman Allah swt وأضلّه على علم [al-Jasiah]. Itu pun bukan perkataan هدًى / هداية yang digunakan, sebaliknya علم.

Sebenarnya panjang perbahasan di sini kerana jika kita terus kupas ia akan membawa kepada permasalahan هداية التوفيق dan هداية البيان. Cukuplah sekadar ini dan kita kembali kepada topik asal, iaitu hikmah penggunaan huruf jar على.

7. Jika disoal, petunjuk itu sifatnya berada di atas dan yang ditunjuk berada di bawah. Sepatutnya (di bawah petunjuk) bukan (di atas petunjuk).

Jawapannya adalah penjelasan dalam perkara 3 tadi ATAU orang yang mengikut petunjuk itu kedudukannya di sisi Allah swt adalah tinggi dan ketinggian kedudukannya itu diungkapkan menggunakan huruf jar على yang maksudnya adalah الاستعلاء (tinggi).

8. Dari sudut i’rab, kalimah أولئك adalah mubtada’ dan على هدًى jar majrur yang muta’allaqnya digugurkan, iaitu ثابتون. Muta’allaq yang digugurkan itu menurut sebahagian ulama Nahu adalah khabar.

Kongsikan Artikel Ini: