al-Idhafah al-lafziyyah atau dikenali juga dengan nama al-idhafah ghair al-mahdhah (الإضافة غير المحضة) ialah satu bentuk pola frasa nama yang dianggap sebagai idhafah tapi sebenarnya ia bukan idhafah. Ia merupakan perubahan bentuk frasa nama dari pola [ fi’il mudhari’ + fa’il / maf’ul bihi ] kepada pola [ mudhaf + mudhaf ilaih ].
Contohnya :
الحَسَنُ الخُلُقِ لَا يَفْعَلُ مِثْلَ هَذَا
Orang yang baik akhlaknya tidak akan buat begini.
Asalnya ialah :
الذِي يَحْسُنُ خُلُقُهُ لَا يَفْعَلُ مِثْلَ هَذَا
Syarat-syarat al-Idhafah al-Lafziyyah
1- Mudhaf mesti dari kalangan wasf (وصف), iaitu isim fa’il, isim maf’ul dan sifah musyabbahah yang membawa fungsi fi`il mudhari’, iaitu menunjukkan tindakan, kejadian atau keadaan yang telah lepas dan masih berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada saat ayat diucapkan.
2- Mudhaf ilaih mesti ma’mul kepada wasf tersebut. Yakni seperti contoh di atas, perkataan الخُلُق di situ elok dijadikan fa’il kepada sifah musyabbahah الحَسَن sekiranya ada dhamir selepasnya. Misalnya :
الحَسَنُ خُلُقُهُ لَا يَفْعَلُ مِثْلَ هَذَا
Orang yang baik akhlaknya tidak akan buat begini.
Unsur Nakirah dan Makrifah dalam al-Idhafah al-Lafziyyah
Jika frasa nama idhafah lafziyyah ini ingin dijadikan nakirah, maka buang alif lam yang terdapat pada mudhaf. Jika ingin dijadikan makrifah, letak alif lam pada mudhaf. Contohnya :
رَأَيْتُ رَجُلًا حَسَنَ الخُلُقِ – nakirah
رَأيْتُ الرَّجُلَ الحَسَنَ الخُلُقِ – makrifah
P/s : Perkara ini langsung tidak sama dengan idhafah ma’nawiyyah, yakni idhafah yang sebenar. Jika idhafah ma’nawiyyah, كَتَابُ نَحْوٍ (nakirah), manakala كِتَاب النَّحْوِ (makrifah). Mudhafnya tidak boleh dimasuki alif lam, sebaliknya alif lam yang terdapat pada mudhaf ilaih lah penentu makrifah nakirah.
Mengapa perlu kepada al-Idhafah al-Lafziyyah?
Meringankan sebutan. Misalnya :
رَأَيْتُ رَجُلًا حَسَنًا خُلُقُهُ
Di situ frasa nama tersebut menggunakan pola [ wasf + fa’il yang disusuli dhamir ]. Bukankah lebih ringan di sebut terus حَسَنَ الخُلُقِ tanpa ‘tanwin’ dan ‘dhamir’ pada خلق itu?
Contoh firman Allah swt :
غير مُحِلِّي الصَّيْدِ
Bukankah مُحِلِّي الصَيْدِ lebih ringan disebut berbanding مُحِلِّينَ الصَّيْدَ yang terdapat ‘nun’ pada مُحِلِّين tersebut.
Kesimpulannya adalah untuk ringankan sebutan dengan membuang tanwin atau nun tasniyah / jamak muzakkar salim.
Apa perbezaan antara al-Idhafah al-Ma’nawiyyah (idhafah sebenar) dan al-Idhafah al-Lafziyyah (idhafah jadian)?
Mudhaf dalam idhafah ma’nawiyyah wajib dibuang alif lam, manakala dalam idhafah lafziyyah mesti diletakkan alif lam untuk menjadikannya makrifah dan dibuang untuk menjadikannya nakirah.
Bilakan alif lam tidak boleh memasuki mudhaf dalam idhafah lafziyyah?
Apabila mudhaf ilaihnya tidak ada alif lam / tidak dihubungkan dengan perkataan yang ada alif lam dan mudhaf pula bukan muthanna atau jamak muzakkar salim.
Misalnya kita tidak boleh berkata الضَّارِبُ زَيْدٍ / الضَّارِبُ رَجُلٍ kerana mudhaf ilaihnya tidak ada alif lam dan mudhaf pula bukan muthanna atau jamak muzakkar salim.
Tapi jika mudhaf ilaih ada alif lam, maka tidak mengapa. Misalnya الضَّارِبُ الرَّجُلِ, الضَّوَاربُ الرَّجُلِ, الضَّارِبَاتُ الرَّجُلِ. Adapun jika mudhafnya adalah muthanna atau jamak muzakkar salim, maka ia boleh dimasuki alif lam walaupun mudhaf ilain tidak mempunyai alif lam. Misalnya الضَّارِبَا رَجُلٍ dan الضَّارِبُو زَيْدٍ.
Apa beza antara رأيت رجلا حسنا خلقه dan رأيت رجلا حَسَنَ الخُلُقِ ?
Bezanya hanya dari sudut sebutan di mana yang kedua lebih ringan dan boleh diucapkan dengan laju.
[Bila kita hendak letak alif lam pada mudhaf dalam idhafah lafziyyah?]
Bila ada keperluan menjadikannya makrifah. Misalnya رَأَيْتُ الرَّجُلَ الحَسَنَ الخُلُقِ / صَادَفْتُ الرَّجُلَ المَكْسُورَ الرِّجْلِ (Saya terserempak dengan lelaki yang patah kaki itu).
Boleh tak nak kata المَكْسُور الرِّجْلُ marfu’ sebagai naib fa’il?
Boleh dengan menambahkan dhamir pada الرِّجْل yang merujuk kepada mausuf. Misalnya صَادَفْتُ الرَّجُلَ المَكْسُورَ رِجْلُهُ.
Mengapa idhafah lafziyyah tidak begitu ditekankan dalam kitab-kitab Nahu ringkas?
Kerana ia tidak sepenting idhafah ma’nawiyyah dari sudut penggunaan bahasa Arab.
Bagaimana ia diterjemah ke bahasa Melayu?
Frasa nama seperti ini diterjemahkan dengan menggembalikan unsur asalnya yang digugurkan, iaitu dhamir (…nya). Jadi frasa حسن الوجه diterjemahkan sebagai “tampan wajahnya”.
Apakah terdapat apa-apa penjelasan dari sudut ilmu Nahu yang boleh dikaitkan dengan terjemahan ini?
Dalam ilmu Nahu, alif lam yang terdapat pada الوجه dalam susunan حسن الوجه ini dipanggil sebagai pengganti kepada dhamir mudhaf ilaih yang digugurkan atau disebut أل النائبة عن الضمير المضاف إليه. Penggantian dhamir mudhaf ilaih dengan alif lam ini kerap terjadi dalam penggunaan bahasa Arab. Bukan sahaja pada perkara berkaitan Idhafah lafziyyah, malah pada perkara-perkara lain juga. Misalnya ayat al-Quran, فإن الجنة هي المأوى asalnya ialah مأواهم.
Kemudian apabila dhamir digugurkan maka ia digantikan dengan alif lam, iaitu المأوى. Dalam terjemahan, kita boleh mengembalikan semula unsur yang dibuang tersebut, iaitu “tempat tinggal mereka”.
Kata Ibn Hisyam, “Para ilmuan Kufah, sebahagian ilmuan Basrah dan ramai dalam kalangan ilmuan Nahu terkemudian melihat keharusan أل menggantikan mudhaf ilaih”. (Mughni al-Labib 1/76).