September 20, 2023
Ilmu Nahu | Sighah Muntaha al-Jumu’
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Jamak taksir berbentuk مَفَاعِل، مَفَاعِيل، فَواعِل dan فَواعِيل adalah isim mamnu’ minal sorf (ممنوع من الصرف) atau disebut juga (اسم لا ينصرف / الاسم الذي لا ينصرف).

Maknanya jamak taksir sebegini jika bukan mudhof dan bukan beralif lam, maka simbol jarnya adalah fathah dan ia tidak boleh ditanwinkan. Contohnya:

مساجد / معالم / مفاتيح / دوافع / طواغيت

Kalimah-kalimah ini jika bukan mudhof atau beralif lam, maka simbol jarnya adalah fathah dan ia tidak boleh ditanwinkan. Misalnya dalam al-Quran:

وزينا السماء الدنيا بِمَصَابِيحَ : فصلت : ١٢
في مواطنَ كثيرةٍ : التوبة : ٢٥

Perhatikan perkataan مصابيح dan مواطن dalam kedua-dua ayat di atas. Rupa kedua-duanya menyamai مفاعل dan مفاعيل.

Kata Ibn Malik:

وكُنْ لجَمعٍ مُشْبِهٍ مَفَاعِلَا = أو المَفاعِيلَ بِمَنْعٍ كافِلَا

“Pastikan kamu halang tanwin (كن كافلا بمنْعٍ) untuk jamak yang menyamai مفاعل atau مفاعِيل.”

Kata Ibn Malik “menyamai” مشبه menunjukkan apa sahaja jamak yang rupanya begitu. Bukan semestinya ada ميم atau ميم itu mesti ميم زائدة. Apa sahaja jamak taksir yang bunyinya begitu termasuk dalam apa yang diperkatakan ini. Contohnya:

لهدمت صوامعُ : الحج : ٤٠

Perkataan صوامع adalah adalah sighah mubtaha al-jumu’ wazan فواعل. Sebabnya wazan فواعل dan فواعيل juga sama bunyinya seperti مفاعل dan مفاعيل juga.

Jika terjumpa di dalam al-Quran atau syair sesuatu yang bertentangan dengan kaedah sighah muntaha al-jumu’ ini maka itu adalah kerana ada kabilah Arab dahulu kala yang mentanwinkan isim la yansorif. Misalnya:

إنا أعتدنا للكافرين سلاسلًا وأغلالًا : الإنسان : ٤

Perkataan سلاسلا di situ mengikut kaedah isim la yansorif tidak ditanwinkan. Tapi ia ditanwinkan kerana ada orang Arab dahulu kala yang mentanwinkan isim-isim la yansorif secara mutlak dalam penggunaan bahasa Mereka. Ayat ini turun selari dengan penggunaan tersebut di samping wujud juga qiraat lain yang membacanya سلاسلَ.

Kongsikan Artikel Ini: