Mac 9, 2024
Info Bahasa Arab | Maksud perkataan المَثَانِي
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Perkataan المثانِي terdapat di dalam al-Quran dan hadis. Firman Allah swt:

ولقد آتيناك سبعا من المثاني والقرآن العظيم – الحجر : ٨٧

Sabda Rasulullah saw:

إنها السبع المثاني، والقرآن العظيم الذي أُوتِيتُهُ

Para ulama menyatakan bahawa perkataan المثاني ini berkisar sekitar maksud-maksud berikut :

  1. ‘Diulang-ulang’, iaitu daripada kalimah التثنية. Asalnya kalimah التثنية bermaksud ‘dua’ tapi digunakan oleh orang Arab secara majaz untuk merujuk kepada tindakan yang terjadi secara berulang-ulang. Contohnya firman Allah swt:

ثم ارجع البصر كرتين – الملك : ٤

“Kemudian ulangilah pandanganmu berkali-kali.” Begitu juga dengan kalimah-kalimah seperti لبَّيْك, سَعْدَيْك dsb.

Jadi maksud السبع المثاني dalam konteks surah al-Fatihah adalah 7 ayat yang diulang-ulang. Tidak ada ayat al-Quran yang dibaca berulang-ulang kali sekerap 7 ayat surah al-Fatihah ini.

Jadi perkataan المثاني adalah jamak kepada isim maful مُثَنَّى, yang diulang-ulang.

  1. ‘Pujian’, iaitu daripada perkataan الثَّناء. Ini kerana surah al-Fatihah mengandungi puji-pujian terhadap Allah swt. Bermula dengan pujian, di tengahnya ada ikrar kehambaan dan di hujungnya dia.

Atas perkiraan ini maka perkataan المثاني adalah jamak kepada masdar mimi مَثْنَاة yang membawa makna isim fail, iaitu مُثْنٍ. Kita semua tahu bahawa isim maful, isim makan, isim zaman, sebahagian isim alat dan masdar mimi dalam banyak keadaan berkongsi bentuk jamak yang sama.

Berhubung masdar mimi (المصدر المِيمِيّ) membawa maksud fail pula banyak contohnya. Antaranya sabda Rasulullah saw :

السِّواك مَطْهَرَةٌ للفم

“Bersiwak adalah pembersih mulut”.

Perkataan مَطْهَرَة bererti مُطَهِّر (isim fail).

Dua maksud ini paling mendapat tempat dalam kalangan para ulama ketika mereka memperkatakan tentang kalimah المثاني di samping maksud-maksud lain yang anda boleh rujuknya sendiri di bawah perbahasan ayat atau hadis di atas.

Kongsikan Artikel Ini: