Oktober 23, 2023
INFO NAHU | Baris huruf ش kalimah عشرة
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Bilakah kita akan sukunkan atau fathahkan baris huruf ش kalimah عشرة?

JAWAPAN:

1. Perkataan yang membawa maksud sepuluh dalam bahasa Arab datang dalam dua bentuk. Pertama tanpa ta’ marbutah, iaitu عشر dan kedua berserta ta’ marbutah, iaitu عشرة.

Di sini saya tidak akan ulas bilakah perlu dimuzakkar dan dimuannathkan. Tumpuan saya hanya pada huruf ش sahaja.

2. Kita mulakan dengan عشر tanpa ta’ di hujungnya.

Jika maksudnya adalah 10, maka huruf ش perlu disukunkan. Contohnya عَشْرُ طَالِبَاتٍ.

Jika ia digunakan dalam bilangan 11 hingga 19, maka huruf ش mesti difathahkan. Contohnya:

أَحَدَ عَشَرَ طَالِبًا، اثْنَا عَشَرَ، ثَلَاثَةَ عَشَرَ، أَرْبَعَةَ عَشَرَ (…) تِسْعَةَ عَشَرَ

Contoh dalam al-Quran, antaranya:

وَلَيَالٍ عَشْرٍ  – الفجر : 2

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا – التوبة : 36

3. Seterusnya عشرة dengan ta’ di hujungnya.

Jika maksudnya adalah 10, maka huruf ش perlu difathahkan, yakni berlawanan dengan عشر tadi. Contohnya عَشَرَةُ طُلَّابٍ.

Jika ia digunakan dalam bilangan 11 hingga 19, maka huruf ش mesti disukunkan, yakni berlawanan dengan عشر pada poin pertama tadi juga. Contohnya:

إِحْدَى عَشْرَةَ طَالِبَةً، اثْنَتَا عَشْرَةَ طَالِبَةً، ثَلَاثَ عَشْرَةَ، أَرْبَعَ عَشْرَةَ، خَمْسَ عَشْرَةَ، سِتَّ عَشْرَة (…) تِسْعَةَ عَشْرَةَ

Contoh dalam al-Quran, antaranya:

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ  – المائدة : 89

فَانفَجَرَتْ مِنْهُ اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا – البقرة : 60

4. Apa yang saya utarakan di sini adalah salah satu daripada perbahasan العدد والمعدود. Fokusnya pada kalimah عشرة / عشر.

Kongsikan Artikel Ini: