Jun 15, 2024
Info Nahu | Berkaitan ungkapan اللهُمَّ
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Struktur asal اللهُمَّ ialah يا الله (Duhai Allah). Kemudian kata seru يا digugurkan dan digantikan dengan simbol jamak mim syaddah (مّ).

2. Huruf م sebagai simbol jamak adalah perkara biasa dalam bahasa Arab. Kalimah ك (kamu) apabila dimasuki م akan menjadi كُمْ (kamu ramai). Begitu juga هُ menjadi هُمْ.

3. Persoalannya apakah yang dijamakkan dalam ungkapan اللهُمَّ?

Jawapannya: Yang dijamakkan ialah segala nama-nama dan sifat-sifat Allah swt. Kata Ibn Abidin di dalam kitab الفوائد العَجِيبة halaman 29:

فإذا قال الداعي: اللهُمّ، فكأنه قال: يا الله الذي له الأسماء الحُسنى.

“Apabila orang yang berdoa berkata اللهم maka seoalah-olah dia berkata, Wahai Allah yang memiliki segala nama-nama yang baik.”

Kata beliau lagi,

ولاستغراقه أيضا لجميع أسماء الله تعالى الحسنى وصفاته لا يجوز أنْ يوصف لأنها قد اجتمعت فيه.

“Memandangkan ungkapan اللهم sudahpun meliputi segala nama-namaNya yang baik dan sifat-sifatNya maka ungkapan اللهم tidak boleh disusuli frasa sifat kerana semuanya telah terangkum di dalamnya.”

Maksudnya kita tidak lagi boleh berkata اللهم الذي لا إله إلا هو sebagai contoh. Kalau kita sebut يا الله الذي لا إله إلا هو tidak mengapa.

4. Kesimpulannya setiap kali kita menyebut اللهُمَّ maka kita bayangkan bahawa kita sedang menyeru Allah swt yang memiliki segala nama dan sifat-sifatnya yang Maha Tinggi atau 99 nama Allah swt seperti yang dinyatakan dalam kitab di bawah.

اللهم اغفر لنا ذنوبنا وإسرافنا في أمرنا، اللهم اغفر لنا ذنوبنا واستر عوراتنا 🤲🤲

Kongsikan Artikel Ini: