Oktober 1, 2023
Info Sorof | Asal-usul Perkataan سِتَّة; Mengapa Jadi سَادِس?
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Berdasarkan apa yang tercatat dalam Mu’jam Lisan al-Arab pada carian ستت dan سدس, perkataan سِتَّة berasal daripada perkataan سِدْسَة. Buktinya perkataan سِتَّة ini apabila ingin ditasgirkan maka sebutannya ialah سُدَيْسَة, bukan سُتَيْتَة. Persoalannya bagaimanakah perubahan sebutan ini boleh berlaku daripada سِدْسَة kepada سِتَّة?

JAWAPAN

Asalnya ialah سِدْسَة, iaitu angka dalam urutan di antara lima dan tujuh. Kemudian huruf Sin (س) kedua ditukar kepada huruf Ta’ (ت) lalu menjadi سِدْتَة. Kemudian berlakulah pertemuan dua huruf konsonan yang berkongsi tempat artikulasi yang hampir serupa / berdekatan, iaitu huruf د dan huruf ت. Kedua-duanya diujarkan dengan kerja sama di antara ujung lidah dan gigi atas untuk menghambat udara yang datang dari paru-paru (طرف اللسان وأصول الأسنان : Konsonan apiko-dental). Disebabkan kedua-duanya berkongsi termpat artikulasi yang hampir serupa maka huruf د ditukar kepada huruf ت lalu menjadi سِتْت dan akhirnya disyaddahkan, سِتَّة. Inilah asal-usulnya 😉. lihat perkara ini dalam Lisan al-Arab, Ibn Manzur pada carian سدس.

Tapi bila kita lihat pada carian ستت dalam buku yang sama, iaitu Lisan al-Arab lain pula penjelasannya. Menurut apa yang tercatat, asalnya tetap sama, iaitu سِدْسَة tapi proses pertukaran itu agak berlainan. Dikatakan asalnya سِدْسَة, kemudian orang Arab idghamkan (masukkan) sebutan huruf د ke dalam sebutan huruf س. Maka ketika itu lahirnya bunyi huruf ت.

Biar apapun proses pertukaran tapi yang pastinya ialah pertukaran ini berlaku daripada perkataan سِدْسَة kepada سِتَّة. Pertukaran huruf seperti ini kerap terjadi. Buku berjudul القلب والإبدال karangan Ibn al-Sikkit adalah bukti paling jelas menunjukkan betapa gejala pertukaran huruf ini kerap berlaku ketika orang Arab menuturkan huruf. Buku tersebut mengumpulkan perkataan-perkataan yang melalui proses pertukaran huruf. Buku ini dimulai dengan باب النون واللام dan berakhir dengan باب إبدال من حروف مختلفة.

Dengan mengetahui asal-usul perkataan سِتَّة saya rasa tidak ada lagi orang tertanya-tanya mengapa kata bilangan tingkat untuk سِتَّة adalah سَادِس. Jawapannya jelas, iaitu kerana asal perkataan سِتَّة adalah سِدْسَة. Oleh itulah kita sebut سُدَيْسَة ketika tasghir, أسْدَاس, سُدُس dan سَادِس.

ADAKAH TERDAPAT DI SANA PENGGUNAAN سَاتّ UNTUK MAKSUD “KE-6”?

Berdasarkan catatan Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab yang dinukilkan daripada Ibn al-Sikkit, kata bilangan tingkat untuk سِتَّة boleh juga disebut سَاتّ di samping سَادِس (dan juga سَادِي). Walaubagaimanapun, hampir langsung tidak kedengaran orang Arab hari ini menggunakan perkataan سَاتّ. Malah jika kita amati penulisan-penulisan terdahulu pun kesemuanya menggunakan perkataan سَادِس, bukan سَاتّ.

APA KAITAN PERKATAAN سَادِي DALAM KURUNGAN DI ATAS?

Perkataan سَادِي juga adalah kata bilangan tingkat untuk سِتَّة, tapi tidak digunakan dengan meluas. Apa yang berlaku di situ ialah pertukaran huruf س kepada huruf ي. Selain perkataan سَادِس, perkataan خَامِس juga turut dituturkan sebagai خَامِي. Semua ini adalah warisan bahasa yang hanya dapat dijumpai di dalam mu’jam atau kamus. Jangan ada hari ini ada yang tampil menggunakan perkataan سَات, سَادِي dan خامي dengan alasan kewujudannya di dalam kamus. Unsur kekerapan perlu dititikberatkan dalam penggunaan bahasa agar bahasa yang digunakan segar, difahami dan tidak canggung.

Kongsikan Artikel Ini: