مُتُّمْ / مِتُّمْ
=============================
- Perhatikan contoh-contoh berikut :
قُلْتُ / كُنْتُ / خِفْتُ / جِئتُ / صِرْتُ / نِمْتُ
Di sini kita lihat ada yang dhommah seperti قُلْتُ dan ada yang kasrah seperti خِفْتُ. Apakah kaedahnya?
- Untuk menentukannya kita perlu lihat bentuk fi’il mudhori’ fi’il berkenaan terlebih dahulu, jika ada huruf و pada fi’il mudhori’ seperti قال يَقُول, كان يَكُونُ, دامَ يَدُومُ maka huruf huruf pertama tadi akan berbaris dhammah. Jadi kita akan kata قُلْتُ, كُنْتُ dan دُمْتُ.
Dalam bahasa sorof ia dipanggil wazan فَعَلَ يَفْعُلُ atau bab نَصَرَ يَنْصُرُ. Adapun bab شَرُفَ يَشْرُفُ hanya melibatkan fi’il طَالَ يَطُولُ sahaja.
- Jika ada alif atau ya’ pada fiil mudhori’ seperti خَافَ يَخَاف atau جاء يَجِيءُ maka huruf pertamanya ketika dihubungkan dengan dhomir berbaris (seperti تُ/ تَ/ تِ, نَا, نَ) mesti dikasrahkan. Ia akan disebut خِفْتُ bukan خُفْتُ.
Dalam bahasa sorof kita sebut jika ia daripada bab ضَرَبَ يَضْرِبُ, yakni wazan فَعَلَ يَفْعِلُ seperti جَاءَ يَجِيءُ dan bab فَرِحَ يفرَحُ yakni wazan فَعِلَ يفْعَلُ seperti خَافَ يَخَافُ maka huruf pertamanya akan dikasrahkan. Maka jadilah جِئْتُ dan خِفْتُ. Kasrah itu adalah كسرة النقل.
Adapun باب فَرِحَ يَفْرَحُ dalam fi’il ajwaf seperti غَيِدَ يَغْيَدُ dalam kes ini mempunyai perincian lain. Malah yang tepatnya untuk خَافَ يَخَافُ, ia adalah daripada bab فَرِحَ يَفْرَحُ menurut jumhur ulamak sorof kerana fiil ajwaf hanya datang daripada 3 bab, iaitu نصر يَنْصُرُ, ضَرَبَ يَضْرِب dan فَرِحَ يَفْرَحُ. Ini perbahasan lain yang perlu dibahaskan berasingan.
- Persoalan seterusnya kenapa dalam al-Quran disebut مِتُّمْ dan مُتُّمْ? Bukankah sepatutnya مُتُّم kerana fi’il mudhori’nya يَمُوتُ?
Jawapan : Fi’il mudhori’ untuk مَاتَ yang masyhurnya adalah يَمُوتُ. Maka ia akan jadi مُتُّ. Ini jelas.
Dan di sana ada juga lughah seperti yang diceritakan oleh para ulamak tafsir menyebut mudhori’nya يَمَاتُ, iaitu bab فَرِحَ يَفْرَحُ. Yakni مَاتَ يَمَاتُ yang asalnya مَوِتَ يَمْوَتُ.
Berasaskan lughah ini maka huruf pertamanya (فاء الكلمة) dikasrahkan seperti yang dijelaskan pada poin (3) tadi.
Jadi مُتُّ berasaskan fi’il مَاتَ يَمُوتُ dan مِتُّ berasaskan fi’il مَاتَ يَمَاتُ. Inilah jawapannya. Kedua-dua boleh berasaskan fi’il mudhori’nya yang disebut dengan dua cara itu, يَمُوتُ dan يَمَاتُ. Tapi perlu diingat bahawa yang kerapnya adalah مَاتَ يَمُوتُ.
Bacaan yang diriwayatkan oleh Hafs daripada Asim adalah dengan kasrahkan huruf م seperti مِتُّ, مِتْنَا, مِتُّمْ kecuali dua ayat dalam surah Ali Imran, iaitu :
وَلَئِنْ قُتِلْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ مُتُّمْ
وَلَئِنْ مُتُّمْ أَوْ قُتِلْتُمْ لَإِلَى اللَّهِ تُحْشَرُونَ
Ada Imam lain yang membaca huruf م dengan baris kasrah di semua tempat dan ada yang membacanya dengan baris dhommah di semua tempat dalam al-Quran. Ini boleh dirujuk kitab-kitab qiraat.