1. Fi’il mudho’af (الفعل المضاعف) merujuk kepada fi’il yang huruf terakhir dan kedua terakhirnya adalah huruf yang sama. Contohnya غَلَّ, قَصَّ dan sebagainya. Huruf terakhir غَلَّ adalah ل dan kedua terakhirnya adalah ل juga.
2. Kedua-dua huruf ل ini digabungkan dengan tanda syaddah. Asalnya adalah غَلَلَ. Penggabungan ini dipanggil إِدْغَام, iaitu memasukkan bunyi huruf pertama ke dalam huruf kedua dan meleraikan penggabungan ini dipanggil فَكّ. Jadi kita ada إِدغام dan kita ada فَكّ. Ingat istilah ini.
3. Idgham adalah sifat semula jadi fi’il mudho’af. Jangan ada sesiapa yang bertanya kenapa dibaca غَلَّ, قَصَّ, دَلَّ dan bukan غَلَلَ, قَصَصَ, دَلَلَ. Kita mesti amalkan idgham dalam fi’il mudho’af kecuali jika ada sebab dua huruf gabungan itu perlu dileraikan (فَكّ).
4. Sebab pertama dua huruf gabungan dileraikan adalah apabila fi’il mudho’af dihubungkan dengan dhomir rafa’ berbaris seperti غَلَلْتُ, غَلَلْنَ, يَغْلُلْنَ, اُغْلُلْنَ dan lain-lain. Ketika ini meleraikan gabungan dua huruf itu (فَكّ) diwajibkan. Tidak boleh lagi idgham di sini.
5. Sebab kedua dua huruf gabungan dileraikan adalah apabila ia adalah fi’il mudhori’ majzum atau fi’il amar. Ketika ini hukumnya harus, bukan wajib.
Contohnya لَمْ يَغْلُلْ dan اُغْلُلْ. Disebabkan hukumnya harus maka bolehlah kita kata لَمْ يَغُلَّ (mudhori’ majzum) dan غُلَّ (fiil amar). Peleraian (فَكّ) adalah lughah ahlul Hijaz dan penggabungan (إدغَام) adalah lughah bani Tamim.
Contoh idgham ialah مَنْ يَرْتَدَّ منكم : المائدة : ٥٤ dan contoh fak ialah ومن يرتَدِدْ منكم عن دينه : البقرة : ٢١٧. Kedua-dua boleh jika fi’il mudho’af itu adalah mudhori’ majzum atau fi’il amar.
6. Kata Ibn Malik:
وَفُكَّ حيثُ مُدغَمٌ فيه سَكَنْ # لِكُونِهِ بمُضمَرِ الرفعِ اقْتَرَنْ
Dan leraikan apabila huruf pertama yang diidghamkan itu menjadi sukun kerana ia (fiil madhi, mudhori’ dan amar) datang bersama-sama dengan dhomir rafa’. [Ini untuk per. 4]
نَحْوُ حَلَلْتُ مَا حَلَلْتُهُ وفي # جَزْمٍ وشِبهِ الحزْمِ تَخْييرٌ قُفِي
Seperti حَلَلْتُ (contoh untuk bait sebelumnya). Dan apabila huruf pertama yang diidghamkan itu berada dalam fiil mudhori’ majzum atau seakan-akan majzum (yakni fi’il amar) maka ia diberi pilihan sama ada ingin leraikan atau gabungkan. [ini untuk per. 5]
7. Selain daripada sebab yang dinyatakan dalam perkara (5) di atas maka dua huruf yang sama dalam fi’il mudhori’ mudho’af mu’rab wajib diidgamkan. Maknanya fi’il mudhori’ mudho’af marfu’ dan mansub wajib diidghamkan. Contoh marfu’ كذلك يُضِلُّ الله : غافر : ٣٤. Contoh mansub : وما كان لنبيٍّ أنْ يَغُلَّ : آل عمران : ١٦١.
8. Berhubung irab fi’il mudhori’ mudho’af yang majzum pula, alamatnya adalah sukun selagi ia bukan af’al khamsah. Cuma sukun itu kelihatan apabila dibaca secara فَكّ seperti إنْ تَمْسَسْكُم حسنةٌ تسؤهم : آل عمران : ١٢٠ dan tidak kelihatan sekiranya dibaca secara إدغام seperti من يرتَدَّ منكم : المائدة : ٥٤.
9. Tanda sukun tidak dapat dilihat pada مَنْ يرْتَدَّ adalah kerana huruf dal (دْ) sukun itu telah diletakkan baris fathah. Asalnya مَنْ يَرْتَدْدْ, kemudian menjadi يَرْتَدْدَ dan kemudian diidhamkan, يرْتَدَّ.
Contoh i’rab fi’il mudhori’ mudho’af majzum yang dibaca idhgam ini adalah:
يرتدَّ : فعل مضارع مجزوم بمَن الشرطية وعلامة جزمه سُكون مُقَدَّر، مَنَعَ من ظهوره اشتغالُ المحل بحركة التَّخَلُّصِ من التقاء الساكنين
(… sukun yabg diandaikan. Yang menghalang sukun itu muncul adalah tempatnya (iaitu د) telah terisi dengan baris penyelesai masalah pertembungan dua sukun.)
10. Apakah baris ‘penyelesai masalah pertembungan dua sukun’ atau di dalam bahasa Arab disebut حركة التَّخَلُّصِ من التقاء الساكنين?
JAWAPAN : Dalam konteks fi’il mudhori’ mudho’af yang dibaca secara idgham, maka baris utama dan kebanyakannya adalah fathah. Adakalanya kasrah. Ia sangat sedikit dan tidak perlu dikiaskan. Contohnya firman Allah swt : ومَن يُشَاقِّ اللهَ : الحشر : ٤.
11. Ada seseorang bertanya berhubung ayat وما كان لنبيٍّ أن يغل ومن يغلل.
a. Kenapa أن يغُلَّ tidak dibaca أنْ يَغْلُلَ ? Jawapannya tidak boleh atas sebab seperti yang dinyatakan dalam per. 7 di atas. أنْ يَغْلُلَ ❌
b. Kenapa pula مَنْ يغلُلْ bukan من يَغُلَّ ? Jawapannya rujuk per. 5 di atas. Yakni kedua-duanya harus.
c. Apakan tanda mansub pada أن يغُلَّ? Jawapannya fathah zohirah.
d. Adakah terdapat apa-apa disebalik semua ini? Tidak ada apa-apa. Ia hanyalah aturan, ketetapan dan keanjalan bahasa Arab.