April 29, 2024
Info Sorof | Bilakah wazan فَعَّلَ berfungsi menerangkan bahawa tindakan itu dilakukan berulang-ulang kali?
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

  1. Istilah yang digunakan untuk mengambarkan sesuatu perbuatan itu terjadi berulang-ulang kali adalah تَكْثِير. Jika terjumpa istilah تَكْثِير, maka inilah maksudnya. Contohnya :

وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ – يوسف

“Dia mengunci pintu-pintu….”

Disebabkan terdapat beberapa pintu, maka tindakn menutup telah dilakukan berkali-kali.

  1. Berhubung bilakah wazan فَعَّلَ ini akan berfungsi sedemikian, jawapannya apabila wazan asalnya sebelum diubah kepada فَعَّلَ sudah pun berstatuskan fi’il muta’addi.

Contohnya fi’il غَلَقَ sudah pun fi’il muta’addi sebelum ditukar kepada غَلَّقَ. Ayat غَلَقَ البابَ membawa maksud yang sama dengan أَغْلَقَ البَابَ (dia menutup pintu). Orang yang rajin menelaah mu’jam dapat lihat dengan jelas perkara ini.

  1. Jika status sesuatu fi’il itu adalah fiil lazim sebelum diubah kepada wazan فَعَّلَ, maka fiil berkenaan tidak membawa fungsi تكثير. Misalnya مَشَى (berjalan), apabila ditukar kepada مَشَّى ia tidak bermaksud berjalan itu dilakukan secara berulang-ulang kali kerana fiil مَشَى sebelum ditukar kepada مَشَّى adalah fiil lazim.
  2. Mari kita lihat contoh lain untuk memahami maksud تَكثير. Fiil قَطَعَ bermaksud “memotong / melukakan dengan gaya memotong”. Apabila diubah kepada قَطَّعَ, maka maksudnya adalah perbuatan melukakan atau memotong itu terjadi berkali-kali. Misalnya :

وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ – يوسف

Mereka berkali-kali menghiris / terhiris tangan mereka   (tanpa sedar).

  1. Apa beza di antara أفْعَلَ pula? Bezanya فَعَّل membawa makna تكثير. Misalnya أعْلَمَ (memberithu) dan عَلَّمَ (berkali-kali tindakan beritahu dilakukan yang akhirnya membawa kepada maksud mengajar ; mengajar). Ada kalanya kedua-dua membawa maksud yang sama. Semua ini tertakluk kepada perincian.

Kongsikan Artikel Ini: